KOTA KINABALU- Bacaan meter elektrik pengguna Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tidak dilaksanakan sementara ini susulan penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat di negeri ini.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Norhizami Abu Hasan berkata, bacaan meter di tapak dan premis pengguna telah dihentikan secara berperingkat bermula pada 22 Sept, 2020 untuk Daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.
SESB turut mengambil keputusan untuk menghentikan operasi bacaan meter di tapak bagi Kawasan Kota Kinabalu pada 1 Okt, 2020 dan seterusnya seluruh Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 12 Okt, 2020 apabila statistik penularan pandemik Covid-19 semakin meningkat.
“Keputusan ini dibuat bukan sahaja untuk keselamatan anggota kerja SESB tetapi juga orang awam dan operasi bacaan meter SESB dan penyerahan bil fizikal kepada pengguna akan disambung semula apabila keadaan semakin pulih,” katanya dalam satu kenyataan media.
Walaubagaimanapun, beliau berkata akaun pengguna masih dibilkan secara anggaran di dalam sistem berdasarkan amaun bil pada bulan sebelumnya.
Bil anggaran tersebut akan diselaraskan apabila bacaan sebenar di tapak dan penyerahan bil disambung semula kelak.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati pengguna untuk mendaftar segera ke Online Customer Service (OCS) SESB di http://www.ocs.sesb.com.my bagi mendapat semakan bil terkini.
“SESB juga menyarankan pengguna untuk mengemaskini maklumat data pengguna bagi memudahkan informasi terkini mengenai pekhidmatan SESB disalurkan kepada pengguna termasuk perkhidmatan menerima pesanan ringkas (SMS) berkaitan maklumat bil,” katanya lagi.
Selain itu, pengguna boleh juga membuat semakan sendiri ke atas bil elektrik mereka dengan membuat bacaan sendiri (Self Meter Reading) iaitu dengan mengambil bacaan terkini di meter elektrik premis rumah dan melihat pada ‘bacaan semasa’ melalui bil terakhir yang diterima.
Sebagai contoh ‘bacaan semasa’ bil tekahir anda ialah 61069 kWh dan bacaan terkini di meter elektrik pengguna adalah 61701 kWh, dengan perbezaan sebanyak 632 kWh.
Selanjutnya untuk mendapatkan jumlah bil sebenar, pengguna boleh melayari pautan ini untumendapatkan Kalkulator Tarif Negeri Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan seperti berikut: https://www.sesb.com.my/content/tariff-calculator-st
Pengguna juga boleh majukan maklumat bacaan tersebut ke nombor Whatsapp rasmi SESB di talian 019-8525427 atau email ke komersil@sesb.com.my untuk mendapatkan bil sebenar tersebut.