KOTA KINABALU: Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat (MRSC) Kota Kinabalu, Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, menasihatkan komuniti maritim untuk mengutamakan keselamatan diri semasa melakukan aktiviti di laut buat masa sekarang.
MRSC memaklumkan negeri Sabah telah menerima tempias dari dua jenis taufan tropika dalam bulan Oktober iaitu taufan SAUDEL dan MOLAVE yang mana kedua-keduanya datang dari arah barat daya Manila, Filipina dengan kelajuan purata 139 km/j.
Mulai 26 Oktober negeri Sabah telah menerima tempias taufan MOLAVE yang dilaporkan berada 703 km ke barat laut Kudat, Sabah. Keadaan ini juga telah menyebabkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter di Sabah barat dan Labuan dan keadaan
ini akan berlarutan sehingga 28 Okt 2020.
Keadaan ini amatlah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
MRSC Kota Kinabalu menasihatkan semua komuniti maritim untuk terus peka dengan keadaan cuaca semasa dan ambil mengambil berat keselamatan diri sendiri dan orang lain.
“Pastikan bot dilengkapi dengan alat keselamatan seperti boya keselamatan, hon keselamatan dan wisel, dan alat kecemasan iaitu alat pengesan lokasi (PLB),
“Selain itu dinasihatkan juga kepada komuniti maritim memeriksa keadaan bot dan feri sentiasa selamat sebelum memulakan pelayaran.
MRSC Kota Kinabalu, Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan menasihatkan komuniti maritim untuk patuh kepada amaran cuaca yang dikeluarkan oleh pihak Meteorologi Malaysia dan menghubungi talian 999 sekiranya berlaku sebarang kecemasan dilaut.