RANAU: Kejadian tiga pelajar terjatuh dari jambatan gantung mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Difahamkan kumpulan remaja tersebut ditimpa kemalangan apabila mendapatkan akses internet di jambatan tersebut untuk sesi pembelajaran maya pada hari Isnin.
Semasa kejadian tersebut, lebih kurang jam 9pm, jambatan gantung tersebut putus dan salah satu daripada mereka mengalami keretakan tulang paha.
Pengarah MCMC Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Izani Othman telah berjumpa dengan Ketua Kampung Gusi Galam Abdullah bagi mendapatkan gambaran keadaan terkini ketiga-tiga pelajar yang terjatuh ketika cuba mendapatkan rangkaian Internet.
“MCMC mengambil maklum tentang kejadian tersebut dan sebagai penyelesaian sementara telah mendapat sokongan daripada pihak Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTT) selaku State Backed Company negeri Sabah, anak syarikat milik penuh Warisan Harta Sabah Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada Kampung Gusi melalui teknologi VSAT.
“Inisiatif ini merupakan usaha tanggungjawab sosial korporat daripada pihak CTT. Pengurus Besar CTT, Law Chun Ming mengesahkan, pemasangan VSAT akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada 15 Disember 2020,” beliau berkata di satu kenyataan media.
Selain itu, tiga (3) menara telekomunikasi akan dibina berhampiran Kampung Gusi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Lokasi-lokasi tersebut telah dinyatakan di dalam dokumen tender yang dikeluarkan oleh MCMC pada 20 November 2020.
MCMC juga menasihatkan pelajar dinasihatkan untuk tidak membahayakan diri dalam usaha mencari capaian Internet.

“Kami sempat berjumpa dengan Ketua Kampung Gusi, Galam Abdullah untuk bertanyakan khabar mengenai keadaan ketiga-tiga pelajar berkenaan dan mendoakan agar mereka akan sembuh secepat mungkin.”