KOTA KINABALU: Seramai 84 pelajar tajaan Yayasan Sabah dari Semenanjung selamat tiba selepas 48 hari berada di Wisma Yayasan Sabah, Jalan Ampang Kuala Lumpur ekoran Covid-19.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar berkata kumpulan pertama itu melibatkan pelajar sekolah menengah yang balik ke Kota Kinabalu, di samping tiga pelajar balik ke Lahad Datu dan 15 pelajar lagi akan balik ke Tawau.
“Pada hari ini, kita menyambut kepulangan para pelajar Sabah dari 30 buah sekolah menengah di Semenanjung Malaysia yang terkandas akibat wabak pandemik Covid-19.
“Selain itu, sembilan orang pelajar sekolah menengah akan pulang ke Sandakan dari Kuala Lumpur pada 4 Disember ini.
“Semua pelajar ini telah menjalani ujian saringan Covid-19 di Kuala Lumpur dan akan dikuarantin di rumah masing-masing.
“Mereka akan berada di Sabah sehingga sekolah dibuka semula pada 21 Januari 2021,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, petang semalam (Dis 2).
“Dengan melakukan tindakan lebih awal yang efektif dan drastik, kita dapat memastikan keselamatan dan kesihatan dapat dikekalkan pada masa akan datang.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada KKM)dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang turut terlibat dalam urusan kepulangan pelajar-pelajar tajaan Kumpulan Yayasan Sabah.
“Kita juga berharap agar ibu bapa dapat memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka mematuhi prosedur kuarantin-diri yang ditetapkan oleh KKM sebaik sahaja mereka tiba di rumah masing-masing,” jelas beliau.
Menurut beliau, proses kepulangan pelajar diatur secara berperingkat berdasarkan pematuhan garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tambah Ghulamhaidar, ini adalah kali kedua Kumpulan Yayasan Sabah membawa pulang pelajar tajaannya balik ke Sabah selepas gelombang pertama pandemik Covid-19 bermula pada 2 Mei 2020.
Program biasiswa pendidikan menengah oleh Yayasan Sabah yang bermula sejak tahun 1967, telah berkembang maju mencapai objektifnya untuk menyediakan biasiswa dan pinjaman kepada pelajar yang memerlukan untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.
Sumber gambar dan keyataan: Jabatan Penerangan Sabah