Penulis: Dr Latif Lai
Ketua Unit Penyelidikan Komunikasi Pembangunan (C4D) UMS-UNICEF, dan Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS.
Setelah hampir setahun dunia terkurung oleh pandemik Covid-19, berita terkini tentang penemuan beberapa vaksin yang boleh menghalang jangkitan virus ini dilihat sebagai satu bentuk cahaya di hujung terowong yang gelap.
Pasaran saham sedunia memberikan reaksi positif terhadap perkembangan terbaharu ini.
Walaupun kebolehdapatan vaksin itu masih perlu menunggu beberapa bulan lagi, dalam konteks di Malaysia, seawal suku pertama tahun hadapan, namun beberapa langkah awal perlu dibuat terlebih dahulu.
Cabaran untuk menyakinkan rakyat untuk menerima vaksin
Cabaran paling besar selepas ini bukanlah untuk memerangi Covid-19, sebab kita telah ada data yang cukup untuk kenal dengan sikap dan tingkahlaku virus ini.
Cabaran sebenar ialah bagaimana untuk meyakinkan rakyat untuk menerima vaksin Covid-19 ini.
Beberapa hari yang lalu, akhbar The Star melaporkan dalam satu tinjauan ringkas bahawa lebih dari 90% responden yang ditemubual mengatakan mereka bersetuju untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
Sekiranya nombor ini diterjemahkan dalam keadaan sebenar, Malaysia tidak akan berhadapan dengan masalah untuk mencapai sasaran minima untuk penghasilan imuniti kelompok (herd immunity) dengan 70% populasi Malaysia, atau seramai lebih kurang 21 juta orang mendapatkan suntikan vaksin covid-19.
Masalahnya, ini tidak mungkin dapat dicapai dengan mudah.
Kewujudan kumpulan anti-vaksin
Salah satu faktor penting yang boleh menghalang usaha untuk mencapai immuniti kelompok ialah kewujudan kumpulan anti-vaksin.
Tidak ada kajian setakat ini yang dapat menjelaskan dengan lebih terperinci bilangan kumpulan anti-vaksin ini.
Setakat ini yang diketahui ialah kewujudan tiga kelompok utama dalam masyarakat yang berkait dengan vaksin.
Kelompok pertama ialah mereka yang faham dan bersedia untuk menerima vaksin. Barangkali, kajian yang mengatakan 4 daripada 5 orang rakyat Malaysia bersedia untuk menerima vaksin telah bertanya kepada kelompok ini.
Manakala kelompok kedua pula merujuk kepada mereka yang akan mempertimbangkan samada ingin menerima atau tidak vaksin ini. Kelompok ketiga pula ialah mereka yang menolak vaksin.
Kerisauan yang perlu diberikan perhatian ialah kelompok ketiga akan berjaya mempengaruhi kelompok kedua.
Justeru, pendekatan komunikasi yang lebih strategik perlu dibentuk bagi mengurangkan pengaruh kelompok anti-vaksin kepada kelompok kedua tersebut.
Perlu diingat, kelompok anti-vaksin walaupun kecil bilangannya menguasai rangkaian komunikasi yang sangat sistematik. Ini boleh menimbulkan ancaman kepada sebarang usaha kesihatan awam, khususnya yang melibatkan proses vaksinasi.
Kajian diperlukan untuk memahami kumpulan antivaxx
Kajian-kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan untuk memahami strategi dan gerakan kumpulan anti-vaksin ini. Kajian seumpama ini penting untuk melihat bagaimana untuk menyediakan strategi komunikasi bagi menangani dan memenangi kelompok ini.
Walau bagaimanapun, selain daripada berhadapan dengan kelompok anti-vaksin ini, ada lagi persoalan besar yang jarang disentuh dalam mana-mana perbincangan tentang proses vaksinasi ini.
Apatah lagi apabila melihat proses vaksinasi ini dalam kerangka fizikal kawasan. Merangka strategi vaksinasi dan komunikasi secara menyeluruh adalah satu strategi yang perlu dipertimbangkan. Setiap kawasan atau negeri mempunyai kriteria berbeza.
Strategi berbeza untuk Sabah dengan kehadiran PTI
Dalam konteks ini, Sabah perlu mempunyai strategi komunikasi dalam proses vaksinasi yang lebih khusus.
Ini disebabkan ada satu faktor di Sabah yang mungkin berbeza dengan kawasan-kawasan lain di Malaysia.
Faktor ini ialah struktur sosial di Sabah yang agak rencam. Ini merujuk kepada kewujudan masyarakat tanpa dokumen atau tanpa negara yang agak besar di Sabah.
Sama ada kita suka atau tidak dengan keadaan ini, mereka telah pun berada dalam komuniti.
Permulaan kepada gelombang ketiga di negeri Sabah dikaitkan dengan individu tanpa warganegara ini.
Persoalan paling besar di sini ialah, adakah kerajaan akan menanggung juga kos vaksinasi Covid-19 kepada golongan ini? Adakah ini akan diterima oleh rakyat Malaysia?
Apabila kes polio dikesan di Sabah tahun lepas, puncanya adalah daripada golongan tanpa dokumen / tanpa negara ini.
Persoalan besarnya ialah siapa yang akan membiayai proses vaksinasi polio untuk kelompok ini?
Sekiranya tidak ada satu dasar yang jelas berkenaan golongan ini dalam proses vaksinasi Covid-19, maka usaha untuk mewujudkan immuniti kelompok pasti tidak akan tercapai.
Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan terdapat lebih kurang 1.2 juta golongan tanpa dokumen / tanpa negara di Sabah pada tahun 2010.
Jumlah keseluruhan penduduk di Sabah pada tahun 2019 ialah 3.9 juta. Ini bermakna, 1 daripada 3 penduduk di Sabah adalah dari kelompok tanpa dokumen atau tanpa negara.
Ini adalah satu struktur sosial yang memerlukan perhatian khusus berbeza dari struktur sosial di wilayah lain di Malaysia.
Justeru, adalah diharapkan agar jawatankuasa komunikasi strategik yang akan ditubuhkan oleh kerajaan untuk tujuan mendidik masyarakat terhadap penerimaan vaksin Covid-19 ini akan melihat faktor tambahan di atas, bukan setakat melihat kepada menangani ancaman oleh kumpulan anti-vaksin.
Penelitian terhadap pengetahuan, sikap dan amalan rakyat dan juga dalam kalangan kelompok tanpa dokumen / tanpa negara ini perlu dilakukan lebih awal sementara menanti kehadiran vaksin Covid-19 yang dijangka diperolehi pada suku pertama tahun hadapan.
Kefahaman terhadap pengetahuan, sikap dan amalan masyarakat terhadap vaksin Covid-19 ini akan dapat membantu merangka pendekatan komunikasi atau penyampaian maklumat yang lebih baik bukan sahaja untuk mengurangkan ancaman kumpulan anti-vaksin tetapi dalam masa yang sama dapat mempengaruhi kelompok tanpa dokumen / tanpa negara. Tidak kiralah samada bekalan vaksin Covid-19 untuk kelompok ini nantinya datang dari kerajaan ataupun agensi kemanusiaan antarabangsa, usaha untuk memujuk golongan ini untuk mendapatkan vaksin Covid-19 itu perlu dilakukan lebih awal.
Apa yang berlaku di Sabah dalam pengesanan dan ujian covid-19 melibatkan kelompok masyarakat tanpa dokumen atau tanpa negara ini perlu dijadikan sebagai satu pengajaran penting dalam usaha kesihatan awam. Sekiranya tidak ada langkah awal dilakukan untuk memahamkan kelompok ini tentang faedah vaksin Covid-19, maka usaha untuk mewujudkan imuniti kelompok akan berdepan kegagalan.
Dalam konteks yang lebih besar, kegagalan mewujudkan imuniti kelompok ini nantinya akan merencatkan usaha kerajaan untuk membawa keluar negara ini dari ancaman pandemik ini. Suasana kondusif di lapangan untuk penerimaan vaksin oleh masyarakat akan dapat membantu usaha proses vaksinasi nanti.
NOTA: C4D adalah pendekatan sistematik, terancang dan berdasarkan bukti yang membawa pada perubahan sikap positif yang mampu diukur dalam usaha membawa pada perubahan sosial. C4D melibatkan komuniti, pembuat dasar dan mana-mana pihak yang boleh memberi kesan ke atas sesuatu program.