SEMPORNA: Lebih kurang dua bulan yang lalu, Semporna merupakan daerah yang bahaya di mana kadar kebolehjangkitan Covid-19 antara komuniti adalah sangat tinggi.
Hari ini, daerah destinasi pelancongan tersebut hanya merekodkan hanya 1 kes baru berbanding dengan ibu negeri 73 dan Sandakan 70 kes baru.
Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata pencapaian Semporna adalah sesuatu yang boleh dibanggakan dan memberi motivasi kepada daerah-daerah lain yang masih berada dalam keadaan zon merah.
“Ini adalah usaha berterusan pihak Kementerian Kesihatan dan kerjasama komuniti tempatan untuk menangani pandemik Covid-19.
“Ini turut membuktikan bahawa kita boleh sama-sama memerangi wabak Covid-19,” beliau berkata di satu sidang akhbar.
Daripada 320 kes positif COVID-19 hari ini, sebanyak 187 kes (58.44%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat di 13 Daerah.
Manakala 36 kes (11.25%) daripada saringan kluster sedia ada, saringan bergejala 41 kes (12.81%),
saringan komuniti 30 kes (9.38%) dan 26 kes (8.13%) adalah dari lain-lain kategori.
Kota Kinabalu mencatatkan kes kontak rapat tertinggi (50 kes), Sandakan (42 kes) dan Penampang (26 kes).