KUALA PENYU: Sebuah pos kawalan bakal dibina di Pulau Tiga Kuala Penyu dalam usaha memantau keselamatan bukan saja pelancong tetapi juga khazanah marin yang ada di pulau itu.
Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, antara ancaman serta masalah yang sering dihadapi pulau berkenaan adalah pencerobohan oleh nelayan tempatan dan juga asing, penggunaan kaedah penangkapan ikan yang membinasakan seperti penggunaan bom ikan.
“Selain itu, terdapat juga pemandu pelancong yang tidak berlesen atau juragan bot pelancong yang tidak memiliki kad pelaut.
“Bagaimanapun, tiada tindakan dapat diambil disebabkan lokasi pangkalan pasukan keselamatan seperti polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terdekat adalah di wilayah persekutuan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ke Pulau Tiga pagi tadi.
Sementara itu, beliau menjelaskan Taman-Taman Sabah mempunyai rancangan untuk membina galeri dan pusat penyelidikan serta pendidikan seterusnya pembinaan pelantar pemerhatian burung di lagun pulau berkenaan.

Katanya, Pulau Tiga turut digelar Survivor Island selepas menjadi lokasi penggambaran rancangan realiti antarabangsa, Survivor.
“Ia adalah gabungan tiga pulau iaitu Pulau Tiga, Kalampunian Besar dan Kalampunian Damit di Teluk Brunei.
“Antara aktiviti yang popular adalah menyelam dan dandi lumpur dari muntahan lumpur gunung berapi,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pembantu Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury , Pengarah Taman Taman Sabah Dr Marklarin Lakim, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman dan beberapa barisan pemimpin masyarakat.