KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah membuka pusat hemodialisis yang beroperasi di tingkat satu Wisma Muis, Sembulan, di sini, sebagai salah satu program kebajikannya untuk membantu semua pesakit yang memerlukan perkhidmatan tersebut.
Pusat tersebut, yang dijayakan bersama dengan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dan dinamakan Pusat Dialisis (MUIS-NKF), dilengkapi dengan 12 mesin hemodialisis yang berkemampuan untuk merawat sehingga 36 pesakit setiap hari, kecuali pada hari Ahad.
Ianya terbuka kepada semua pesakit yang berdaftar di bawah Bahagian Zakat dan Fitrah, yang akan menanggung kos rawatan mereka, dan juga mereka yang terdaftar di bawah Kementerian Kesihatan dan PERKESO yang menanggung sebahagian daripada kos rawatan mereka.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, yang mengumumkan pembukaan pusat tersebut, berkata satu lagi pusat seumpama itu akan dibuka di bangunan milik MUIS di Tebobon, Sepanggar, pada awal tahun depan.
Selain itu, katanya MUIS juga merancang untuk membuka pusat-pusat hemodialisis seperti itu di daerah-daerah lain seperti Beaufort dan sebagainya supaya dapat membantu lebih ramai pesakit yang memerlukan perkhidmatan tersebut.
“Saya fikir ini satu program yang sangat baik, kerana ia adalah untuk membantu saudara-saudara kita yang memerlukan bantuan untuk kesihatan mereka.
Mohd Arifin Arif
“Semua ini adalah hasil sumbangan daripada anda semua yang menunaikan zakat perniagaan dan zakat penggajian.
“Semua zakat yang kita terima, memang semuanya kita sampaikan, semuanya kita laksanakan dan semuanya kita berikan kepada asnaf,” katanya, sambil merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah melunaskan bayaran zakat perniagaan dan zakat penggajian mereka.
Arifin berkata demikian kepada media selepas menyaksikan penyerahan bayaran zakat perniagaan daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) sebanyak RM200,000 dan daripada Agrobank sebanyak RM108,793 kepada Pusat Zakat Sabah (PZS) di Dewan Madani, Wisma Muis, pada Jumaat.
Ia disampaikan oleh Pengerusi SEDCO Datuk Rubin Balang, yang mewakili perbadanan tersebut, dan bagi Agrobank oleh Pengarah Regional Encik Tamring Kuba, kepada Yang di-Pertua MUIS, Datuk Seri Panglima DR Haji Hasbullah Haji Mohd Taha.
Merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada SEDCO dan Agrobank kerana menunaikan tanggungjawab mereka setiap tahun untuk melunaskan zakat perniagaan, Arifin berkata SEDCO adalah antara syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terawal menunaikan zakat perniagaan dan berharap ianya akan berterusan.
“MUIS dan SEDCO bukannya asing kerana ada beberapa program yang kita laksanakan bersama. Misalnya bersama dengan anak syarikat SEDCO, iaitu SEDCOVEST, kita melaksanakan program bazaar masjid seperti yang diadakan di Masjid Negeri dan Masjid Sandakan, dan yang terbaru yang akan kita adakan di Masjid Negeri nanti, yang akan kita namakan Bazaar Madinah.
“Dan kita juga terhutang budi kepada Agrobank yang selalu juga menunaikan tanggungjawab ini dan selalu juga bekerjasama dengan kita.
“Inilah usaha yang perlu kita teruskan bersama demi untuk membangunkan ummah, demi untuk membantu mereka daripada segi kebajikan dan yang sangat penting daripada sudut pendidikan mereka,” katanya, sambil menambah hasil daripada sumbangan zakat ini telah diagihkan kepada semua asnaf yang terdaftar dengan MUIS.
Arifin juga menyeru GLC-GLC yang lain dan juga para pekerja, kakitangan kerajaan di negeri ini yang belum menunaikan tanggungjawab untuk membayar zakat perniagaan dan zakat penggajian masing-masing untuk berbuat demikian.
PZS mensasarkan untuk mengutip RM90 juta untuk zakat perniagaan (zakat on business) untuk tahun ini dan bagi zakat penggajian (zakat on salary), lebih RM40 juta.
Sumber kenyataan dan gambar: KementerianTugas-Tugas Khas.