KOTA KINABALU: Kerajaan tidak akan menghalang orang ramai untuk menyambut mana-mana perayaan tetapi mereka harus tanggung akibat sendiri.
Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata sebaik-baiknya elakkan perjumpaan sosial untuk kurangkan risiko jangkitan virus.
“Apabila terdapat perhimpunan sosial, virus Covid-19 akan ‘senang hati’ kerana mempunyai peluang untuk menjangkiti orang ramai.
“Sekiranya gathering dibuat dan dihad hanya untuk keluarga, tidak jadi masalah. Tetapi, kalau orang luar juga dijemput, dimana status seseorang samada sebagai pembawa virus atau tidak, ia akan menjangkiti ahli keluarga yang lain.
“Seorang rakan telah memberitahu saya dan kalau boleh saya ingin quote ‘kegembiraan 15 minit mungkin akan menjadi kesengsaraan 15 hari,”beliau berkata semasa sidang akhbar berkenaan dengan SOP semasa perayaan krismas dan lain-lain.
Masidi juga berkata walaupun kelonggaran telah diberi untuk ahli keluarga makan bersama di restoran atau hotel, tetapi mereka mungkin akan dijangkiti sekiranya mereka menjemput kenalan yang mungkin berpenyakit untuk makan bersama.
Kes harian di Papar merupakan contoh jangkitan kontak rapat menyumbang jangkitan tinggi di daerah tersebut di mana jumlah kes telah berganda dalam masa dua hari.