KOTA KINABALU: The Taskforce Against Kaiduan Dam (TAKAD) ingin meminta penjelasan dan menuntut keputusan rasmi dari kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam penerusan projek mega Empangan Papar yang diluluskan kerajaan Warisan sebelum ini.
Perkara ini dirujuk susulan daripada kenyataan Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri pada 22 Disember bahawa kerajaan GRS akan menggantikan Empangan Papar/Kaiduan dengan Projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3 bagi menyelesaikan masalah bekalan air di daerah Papar dan sekitar Kota Kinabalu.
Walau bagaimanapun, semasa soalan tambahan daripada Adun Kepayan Jannie Lasimbang yang bertanya mengenai Kajian Impak Alam Sekitar dan Sosial dalam projek penggantian empangan, Limus telah menjawab “pihak kementerian sudah mengkaji pelaksanaan Kaiduan dam ini untuk menyelesaikan masalah-masalah air di sekitar Papar, Kota Kinabalu dan akan tetap dilaksanakan dengan mengikut assessment yang dibagi kementerian seperti IDS dan juga UMS.”
“TAKAD berpendapat bahawa kenyataan-kenyataan yang dilaporkan dari pihak Kementerian Kerja Raya bercanggah serta mengelirukan pihak kami yang bakal terkesan dari pelaksanaan projek ini.
“Kami dengan ini menuntut satu jawapan rasmi dari Menteri Kerja Raya dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Mokhtar akan adakah projek Empangan Mega Papar yang dirancang oleh kerajaan Warisan sebelum ini akan diteruskan oleh kerajaan GRS dan terkandung dalam projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3?
“Kami juga meminta penjelasan spesifik mengenai apakah alternatif yang dimaksudkan oleh Pembantu Menteri di Dewan Undangan Negeri sebagai mengganti empangan Papar/Kaiduan? ”
Bagi TAKAD, keputusan dan kenyataan jelas dan rasmi dari Menteri Kerja Raya adalah sangat penting kerana mereka telah dipinggir dari proses konsultasi, perancangan dan kajian selaku komuniti yang terkesan oleh kerajaan sebelum ini.
“Kami sebagai orang asal mempunyai hak untuk dimaklum awal dan membuat keputusan yang bebas, atau Free Prior and Informed Consent (FPIC) yang termaktub dalam Deklarasi Hak Orang Asal Sedunia (UNDRIP) dan kami harap kerajaan baru ini menghormati hak kami ini.
TAKAD