KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Noorliza Awang Alip, bakal menjadi wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar.
Beliau yang memulakan kareer sebagai penolong setiausa untuk kerajaan tempatan tersebut pada 1996 bakal menggantikan Datuk Nordin Siman yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu pada 31 Disember ini.
Noorliza berkata pelantikannya sebagai mayor wanita pertama merupakan satu penghargaan daripada kerajaan negeri terhadap kepemimpinan wanita di negeri ini.
“Pelantikan ini membuktikan kerajaan negeri menghargai wanita dan turut diberi peluang dalam menerajui jawatan penting kerajaan.
“Pengiktirafan ini juga sudah pasti akan menjadi pemangkin dan meningkatkan semangat dalam kalangan wanita di negeri ini.
“Saya merakamkan terima kasih kepada ketua menteri dan kerajaan negeri atas pelantikan ini,” katanya yang bakal menerajui DBKK sebagai mayor ke 6 selepas menerima watikah pelantikan dari Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di PPNS.
Turut diberi pengiktirafan adalah Timbalan Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dilantik sebagai Peguam Besar Sabah yang baharu menggantikan Brenndon Keith Soh.
