KOTA KINABALU: Sebuah bot pam yang disyaki melakukan kegiatan bom ikan dalam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dikedudukan 0.12 batu nautika barat Tanjung Saban, petang semalam.
Menurut Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli bin Abdullah, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, bot ronda Maritim yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah mengesan sebuah bot pam berwarna kuning dalam keadaan mencurigakan dan bertindak menahan bot terbabit yang disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan di sekitar perairan barat Tg. Saban.
Ketika bot ronda maritim cuba menghampiri bot tersebut, bot pam itu telah memecut laju ke arah pantai yang berdekatan dan setibanya di kawasan perairan cetek, kelihatan dua orang lelaki dewasa telah bertindak terjun ke laut meninggalkan bot mereka.
Hasil pemeriksaan lanjut keatas bot tersebut menemui peralatan menyelam tradisional serta bom ikan. Bot pam terbabit ditahan dan dibawa masuk ke Jeti Maritim Sepanggar dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut. Antara barang yang dirampas sebuah bot pam berwarna kuning, sebuah enjin pam, sebuah kompressor, satu gulung hos menyelam, 2 botol bom ikan dan cermin mata menyelam.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan komuniti maritim agar tidak melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bom ini kerana aktiviti ini bukan sahaja salah disisi undang-undang negara malah ianya membawa kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga ianya membahayakan nyawa si perlaku serta mereka yang sedang melakukan aktiviti menyelam.
Kes disiasat mengikut seksyen 26, Akta Perikanan 1965 iaitu menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya. Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda dibawah Seksyen 25 (a) dimana jika vesel yang berkenaan itu ialah vesel penangkapan asing atau orang berkenaan itu ialah rakyat negara asing boleh dikenakan denda tidak melebihi enam juta ringgit setiap seorang bagi pemunya atau nakhoda, dan enam ratus ribu ringgit bagi tiap-tiap kru manakala untuk warga tempatan, ianya tertakluk kepada Seksyen 25 (b) iaitu denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
