KOTA BELUD: Hujan lebat yang berterusan sejak Sabtu lalu menyebabkan paras air sungai di Kampung Lebak Engad melimpah dan menimbulkan kerisauan suri rumah, Norzalinah Maslen, 32, bersama tiga orang anaknya.
Beliau yang ditemui di Pusat Penempatan Sementara Banjir di Dewan Tun Said semalam, sempat berkongsi pengalamannya berdepan detik cemas sendirian tanpa suami di sisi.
“Saya berpindah bersama tiga orang anak pada petang Ahad dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam.
“Saya cuma sempat selamatkan dokumen-dokumen penting sahaja, sementara semua barangan rumah lain semuanya habis tenggelam.
“Suami terpaksa berjauhan dengan saya dan anak-anak kerana beliau bekerja di Keningau dan akan pulang dalam tempoh tertentu.
“Syukur dan terima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertindak pantas dan memindahkan kami sekeluarga pada petang Ahad, ia sangat melegakan,” ujarnya.
Beliau merupakan salah seorang penerima bantuan berupa wang tunai yang disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor di sini, pada Isnin.
Rakan sekampungnya, Amezah Ahmad, 30, bersama bayinya berumur empat bulan juga menerima bantuan sama dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri.
“Saya sangat takut kerana rumah saya berhampiran sungai. Air di sungai tersebut naik dengan cepat dan rumah saya hampir tenggelam.
“Bimbang tentang keselamatan, saya dan keluarga mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat dengan segera menggunakan bot milik keluarga.
“Walaupun keadaan di sini agak kurang selesa berbanding di rumah sendiri, saya tetap bersyukur kerana masih ada tempat berlindung dan berterima kasih kepada pemimpin yang prihatin dengan nasib saya,” katanya.
Sehingga semalam, Pusat Pemindahan Sementara Dewan Tun Said menempatkan seramai 102 orang daripada 30 keluarga.
Sumber gambar dan kenyataan: Jabatan Penerangan Sabah