Kenyataan akhbar Timbalan Ketua Menteri dan Adun Kundasang Datuk Dr Joachim Gunsalam
RANAU, 20 Januari 2021: Kawasan tanah runtuh membabitkan kawasan letak kereta di Taman Negara Gunung Kinabalu yang turut menjejaskan jalan utama Tamparuli-Ranau akan dibaiki dibaiki dengan kadar segera.
Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata kerja-kerja pembaikan itu perlu dilaksanakan secepat mungkin kerana itu adalah antara laluan utama.
Selain itu katanya, ia juga untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku kepada para pengguna di laluan tersebut.
“Kerja pembaikan semula perlu dilaksanakan dengan kadar segera kerana jalan Ini merupakan laluan utama dan banyak kenderaan awam melalui jalan Ini. Kita tidak ingin berlaku kemalangan jiwa berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh itu hari ini.
Jaochim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah turut diiringi kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu, runtuhan membabitkan kawasan sepanjang 150 meter dengan lebar 100 meter.
Ia berikutan hujan yang berterusan sejak beberapa hari ini yang turut menyebabkan banjir dan kejadian tanah runtuh di daerah ini.
Bagaimanapun kejadian tanah runtuh itu tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
“Saya bersyukur kerana dalam kejadian tanah runtuh ini, tidak ada kemalangan jiwa berlaku. Walau bagaimanapun, jalan raya masih boleh dilalui kenderaan,” kata Jaochim.
Beliau turut mengingatkan penduduk di Kundasang agar berhati-hati di musim hujan kerana kebarangkalian kejadian tanah runtuh berlaku adalah tinggi.
Beliau juga bersyukur kerana ketika ini Taman Negara Gunung Kinabalu ditutup bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus mengelakkan risiko kehilangan harta benda atau nyawa pengunjung.