KOTA KINABALU: Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengunjurkan kadar pengangguran di Malaysia termasuklah Sabah akan meningkat pada tahun ini berikutan impak penularan pandemik Covid-19.
Jurucakap Covid-19 Datuk Seri Masidi Manjun berkata tidak dinafikan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya memberi kesan kepada kadar pengangguran di Sabah.
“Pelaksanaan PKP telah memberi impak dan menjejaskan banyak syarikat- syarikat perniagaan melibatkan pelbagai sektor ekonomi di negeri ini sehingga ada yang terpaksa ditutup disebabkan tidak dapat menampung kos perbelanjaan operasi termasuklah pembayaran gaji pekerja sehingga menyebabkan syarikat-syarikat tersebut terpaksa memberhentikan pekerja.
“Ini tercermin daripada kenaikan kadar pengangguran di Sabah pada suku tahun pertama tahun 2020 sahaja iaitu 3.9 peratus berbanding 3.3 peratus pada tahun 2019 (Laporan Statistik Tenaga Buruh, 2020),” beliau berkata di satu sidang media melalui aplikasi zoom.
Sungguhpun demikian, Masidi berkata kerajaan optimis untuk melaksanakan usaha bagi memastikan bahawa impak daripada pandemik COVID-19 ke atas sektor-sektor utama di negeri ini khususnya sektor pekerjaan dapat diminimumkan.
“Ini termasuklah merangsang semula sektor-sektor ekonomi utama negeri ini meliputi sektor perkhidmatan, pertanian, pembuatan dan pembinaan yang secara langsung dijangka akan dapat mengurangkan kadar pengangguran di Sabah pada masa hadapan khususnya yang disebabkan oleh
pandemik COVID-19.”