Kenyataan akhbar Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin
KOTA KINABALU, 2 Februari 2021: Tempoh fasa pemulihan untuk sektor pelancongan negeri Sabah dijangka mengambil masa lebih panjang berbanding negeri lain.
Antara kekangan utama adalah disebabkan Sabah bergantung hampir sepenuhnya kepada perhubungan udara.
Walau bagaimanapun, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin optimis dan yakin dengan semua strategi yang telah digariskan sebelum ini mampu memulihkan Kembali industri pelancongan secara efektif berteraskan norma baharu.
“kita telah merancang dan melaksanakan pelbagai pelan serta strategi bersesuaian untuk mendepani cabaran semasa ini”.
Menteri Pelancongan Sabah Datuk Jafry Ariffin
Jelasnya lagi, pemulihan pelancongan juga bergantung kepada kejayaan membendung pandemik, dengan prospeknya yang semakin baik susulan ketersediaan vaksin.
Pelaksanaan vaksinasi secara berkesan akan menjadi faktor utama ke arah pembukaan sempadan dan normalisasi aktiviti perjalanan dan pelancongan domestik dan antarabangsa.
Lembaga Pelancongan Sabah juga telah mengadakan beberapa perbincangan berhubung keperluan untuk menambah penerbangan terutama di daerah yang mempunyai tempat pelancongan yang berpotensi untuk menarik pelancong dalam mahupun luar negara.
Strategi mempelbagaikan jenis pelancongan di Sabah.
Di samping itu, STB juga kini sedang menggariskan beberapa strategi dalam mempelbagaikan jenis pelancongan agar tidak hanya tertumpu kepada pelancong massa sahaja.
Antaranya adalah meluaskan pelancongan alternatif yang melibatkan sekumpulan kecil orang atau individu yang melancong ke tempat-tempat yang bukan destinasi pelancongan yang popular.
Dalam hal ini, fokus kementerian adalah untuk menaiktaraf fasiliti pelancongan ke arah mengutamakan kualiti berbanding kuantiti, atau dalam istilah yang lebih mudah adalah kepada high yield tourist.
Bantuan untuk pemain industri pelancongan tempatan
Seterusnya untuk membantu pemain industri pelancongan tempatan yang terjejas akibat penularan Covid19, bantuan fasa kedua sebanyak RM300 kepada porter, pemandu pelancong, malim gunung, ketua selam dan penggiat seni akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.
Dalam masa sama, kementerian juga sedang meneliti beberapa bentuk bantuan kepada pengusaha hotel dan penginapan di Sabah . Ia berikutan sejak pelaksanaan PKP, beberapa hotel ditutup dan kakitangannya terpaksa diberhentikan kerja.