KOTA KINABALU: “Pemimpin” digalakkan untuk mematuhi SOP semasa melakukan mana-mana tanggungjawab.
Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun memberi maklum balas di satu sidang media apabila ditanya wartawan berkenaan dengan pematuhan SOP sepanjang misi bantuan Ustaz Ebit Lew di pantai timur Sabah beberapa hari yang lalu.
“Kita perlu memimpin secara teladan, samada di pihak penguatkuasaan ataupun jawatan penting di kerajaan, satu teladan yang baik adalah dengan mematuhi SOP.
“Saya tidak boleh mengadili orang lain, saya hanya boleh menggalakkan mereka menjadi teladan kepada yang lain.
“Sekiranya kita tidak mematuhi sebagai pemimpin, yang lain juga akan buat yang sama. Ada satu perumpaann Melayu ada mengatakan bahawa cikgu kencing berdiri, murid kencing berlari,” beliau mengulas.

Sementara itu, beliau menafikan terdapat larangan penceramah bebas, Ebit Lew meneruskan kerja amal di pantai timur Sabah.
Masidi, yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata pihaknya juga telah merujuk sama ada polis atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ada mengeluarkan larangan terhadap penceramah berkenaan.
“Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada sesiapa sahaja untuk melaksanakan kerja kebajikan di negeri in. Polis dan ESSCOM juga menyatakan perkara yang sama.
“Cuma, di pantai timur Sabah ini tertakluk kepada peraturan perintah berkurung, malah dilarang pergi ke tempat tertentu kerana ada risiko keselamatan.
“Polis dan Angakatan Tentera Malaysia (ATM) memandang berat perkara ini agar tidak menjadi sasaran sebarang cubaan jenayah.”