KOTA KINABALU: Syarikat pengurusan jenazah diminta untuk tidak mengambil kesempatan dengan memperolehi keuntungan yang keterlaluan.
Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun merujuk satu pautan di laman media sosial Facebook di mana keluarga pesakit Covid-19 yang meninggal dunia perlu membayar wang RM6,000 untuk urusan penghantaran jenazah.
“Justeru itu, secara peribadi saya ingin meminta agar mana-mana pihak tidak mengambil ataupun memanipulasi kesempatan yang ada untuk memperolehi keuntungan yang keterlaluan daripada ahli keluarga yang sedang berdukacita atas kehilangan orang-orang yang tersayang,” beliau berkata di satu sidang akhbar maya.
Masidi juga menjelaskan bahawa pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan semua hospital kerajaan di bawah jagaan tidak mengenakan apa-apa bayaran bagi pengendalian jenazah kes COVID-19.
Caj pengangkutan dikenakan apabila ahli keluarga jenazah memilih untuk menggunakan perkhidmatan syarikat pengurusan jenazah bertauliah untuk membawa jenazah dari hospital ke tapak pengkebumian.
“Walau bagaimanapun, prosedur pengangkutan sehingga pengkebumian adalah diselia ketat oleh pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah. “