KOTA KINABALU: Semua rakyat asing termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen sah akan diberi imunisasi Covid19 secara percuma.
Perkara ini disahkan oleh jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun dan berkata kerajaan menyasarkan kira-kira 3 juta penduduk Sabah akan menerima vaksinasi menjelang Februari 2022.
Program Vaksinasi COVID-19 yang dijangkakan bermula 26 Februari 2021 akan disempurnakan dalam 3 fasa.
Fasa pertama dijangkakan bermula dari 26 Februari 2021 sehingga April 2021. Fasa kedua dan ketiga pula dijangkakan bermula dari April 2021 dan berterusan sehingga Februari 2022.
“Fasa pertama akan melibatkan petugas- petugas barisan hadapan, fasa kedua melibatkan populasi yang mempunyai komorbiditi seperti wargaemas dan penghidap penyakit kronik, manakala fasa
ketiga akan meliputi warganegara lain yang berumur 18 tahun ke atas.
“Pemberian vaksin secara percuma kepada rakyat asing termasuk PTI yang tidak mempunyai dokumen yang sah, selari dengan tema Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’ dan pendekatan ‘tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat,” beliau berkata di satu sidang media maya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin telah menyenaraikan lima kaedah yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.
Antara langkah-langkah tersebut termasuklah menggunakan aplikasi MySejahtera, laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID19-JKJAV, talian hotline yang akan ditetapkan kemudian, pendaftaran secara manual di klinik dan hospital awam serta swasta, dan terakhir sekali, kerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendaftarkan penerima termasuk warga emas.
Pihak Majlis Keselamatan Negara mempunyai peranan yang besar untuk mendapatkan senarai pendaftaran penerima vaksin dalam fasa kedua dan ketiga melalui bantuan Ketua Kampung dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.