PENAMPANG : Setelah melalui pelbagai cabaran, Mahkamah Anak Negeri Penampang berjaya menerbitkan keluaran sulung majalah “Adatku”.
Presiden Hal EHwal Anak Negeri Sabah Tindarama Benedict Topin berkata majalah tersebut akan menjadi saluran yang penting dan akan berperanan sebagai peneraju membina koleksi elemen-elemen adat dan warisan budaya khususnya id daerah Penampang.
“Majlis Hal Ehwal Anak Negeri mengalu-alu dan menggalakkan usaha seperti ini bagi memartabatkan warisan budaya kita.
“Biarlah usaha ini menjadi teladan kepada kita semua khususnya bagi suku-suku etnik Anak Negeri di daerah-daerah lain dalam usaha bersma mendokumentasikan pelbagai aspek dan unsur pusaka budaya kita termasuk yang masih diamalkan sehingga ke hari ini terutama oleh para bobohizan dan penetua kita,” beliau berkata di perutusan majalah.
Pelanjaran majalah tersebut di ITCC disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
Masidi berkata dengan adanya majalah tersebut, ia akan menjadi sumber rujukan berguna untuk para pengkaji budaya termasuklah para mahasiswa di institusi-institusi pengajian tinggi.
“Memandangkan masyarakat Kadazan mempunyai begitu banyak warisan budaya, maka siri majalah ini adalah perlu untuk memuatkan seberapa banyak dokumentasi pelbagai aspek warisan budaya Kadazan di dearah Penampang, terutama yang tidak lagi diamalkan di zaman moden ini.”
Antara pengisian majalah Adatku siri I termasuklah Adat Perkahwinan Kadazan Penampang, The Miohon Pinisi Ceremony, Pakaian Tradisi Kadazan Penampang, Kuasa dan Tanggungjawab Ketua Daerah, dan Sabah Native Court Deserves Better.
Majalah Adatku ini juga akan diterbitkan secara bersiri iaitu 4 kali dalam setahun supaya dapat mengumpul lebih banyak bahan yang akan menyusul selepas keluaran pertama ini.