KOTA KINABALU, 30 MAC 2021: Sabah akan menganjurkan Cabaran ROBONEO AWS DeepRacer 2021 untuk mengembangkan ekosistem pembelajaran program Latihan, Pendidikan Vokasional dan Teknikal (TVET) dalam komuniti.
Pertandingan secara maya itu akan menyaksikan peserta menggunakan kreativiti dan menguji kemahiran masing-masing untuk mereka bentuk model jentera pembelajaran.
Setakat ini, pertandingan itu menerima seramai 100 penyertaan sejak pendaftaran dibuka pada 25 Mac lalu. Tarikh tutup untuk menyertainya ialah esok (31 Mac).
Program berkenaan adalah anjuran bersama Politeknik Kota Kinabalu, Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCEIC), Kolej Komuniti Papar, Kinabalu Coders dan Amazon Web Services (AWS) Educate Singapore.
Disokong oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Pengerusi Cabaran ROBONEO AWS DeepRacer Ts. Julkifli Awang Besar, berkata cabaran itu menyasarkan untuk membantu pendedahan awal kepintaran rekaan (AI) dan teknologi jentera pembelajaran untuk tenaga kerja yang lebih meluas pada masa depan.

Julkifli, yang turut mewakili Politeknik Kota Kinabalu, berkata inisiatif itu menetapkan sasaran bagi membawa bersama pelajar TVET dan komuniti pendidikan untuk belajar bersama dan mencuba penggunaan jentera pembelajaran melalui simulator perlumbaan secara maya berasaskan ‘cloud’.
Katanya, peranan Politeknik Kota Kinabalu adalah untuk mendidik komuniti, khususnya belia berkaitan teknologi baharu yang menjurus ke arah teknologi robotik dan digital.
“Kita adalah institusi yang menawarkan pengajaran dan pembelajaran TVET di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Politeknik Malaysia adalah rakan strategik AWS dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian.
“Bagi mengukuh dan memantapkan pengetahuan TVET, pelajar politeknik juga bekerjasama dengan pelbagai industri sejajar dengan aspirasi negara untuk membangunkan ekonomi dan semua kawasan Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Sepanjang pertandingan, peserta berpeluang membina model jentera pembelajaran masing-masing dan bersaing di litar secara maya sambil mengukuhkan pembelajaran dan meningkatkan lagi kemahiran dengan jentera pembelajaran.
Pertandingan dibahagikan kepada Kategori Politeknik Malaysia untuk semua pelajar politeknik; Kategori Kolej Komuniti Malaysia untuk pelajar Kolej Komuniti dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) dan Kategori Terbuka untuk pelajar sekolah menengah di Sabah serta institusi lain seperti kolej, universiti dan komuniti.
Tiga pemenang teratas bagi setiap kategori akan menerima medal, sijil dan hadiah wang tunai.

Sebagai penaja utama pertandingan, SCEIC berharap untuk melihat lebih ramai peserta menyerlahkan minat untuk meneroka bidang robotik di negara ini, khususnya Sabah dalam usaha untuk mencapai Revolusi Industri 4.0.
Pakar program dan pembina masyarakat di pusat berkenaan, Fazlan Thomas, berkata rakyat Sabah masih kurang pendedahan mengenai bidang robotik berbanding dengan negeri lain, namun sekurang-kurangnya mempunyai minat dalam bidang itu.
“Kita dalam proses untuk mempromosikan SCEIC itu sendiri kepada rakyat Sabah. Objektif kita mengendalikan industri menerusi keusahawanan, teknologi inovasi dan kreativiti ke tahap yang lebih jauh boleh menyediakan pendedahan kepada semua mengenai kepentingan sistem TVET.
“Walaupun SCEIC baru setahun, kita berusaha untuk memastikan hubungan yang baik dengan institusi pendidikan tinggi, badan korporat, swasta dan individu dalam mencapai sasaran dan menyebarkan kepentingan TVET, selain Industri 4.0 di Sabah.
“Cabaran ROBONEO AWS DeepRacer 2021 adalah satu daripada usaha SCEIC untuk memberi pendedahan kepada pelajar supaya mereka berminat menyertai lebih banyak program yang berkaitan dengan robotik.
“Ini juga dapat memupuk minat mereka menggunakan pengetahuan yang dipelajari secara teori kepada amali supaya mereka lebih bersedia menghadapi dunia sebenar menggunakan pengalaman dan kemahiran sedia ada,” katanya.

Fazlan berkata, semua pihak perlu memikirkan strategi untuk Sabah mempunyai pakarnya sendiri dalam bidang robotik, Internet Perkara, dan jentera pembelajaran antara lain dalam tempoh 5 hingga 10 tahun.
“Program seperti ROBORNEO AWS DeepRacer Challenge 2021 adalah salah satu inisiatif hebat yang dapat kita anjur secara konsisten dengan pihak berkepentingan lain untuk melahirkan lebih ramai pakar berbakat pada usia muda untuk menjadi aset negeri dalam masa terdekat,” tambahnya.
Sementara itu, wakil Kinabalu Coders Edharn Arief Dawillah berharap lebih ramai orang menyedari dan mengetahui perkembangan teknologi yang membabitkan komputer ‘cloud’, AI dan malah kenderaan pandu sendiri.
Katanya, ia bagi memastikan Malaysia secara am dan Sabah khususnya tidak ketinggalan daripada perkembangan era Revolusi Industri 4.0.
Kinabalu Coders adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai pasukan teknikal membantu menjayakan Cabaran ROBONEO AWS DeepRacer 2021.
Peranannya termasuk membawa sebarang kerja teknikal dalam platform komputer ‘cloud’ Amazon dan menasihati ahli jawatankuasa serta peserta mengenai program komputer, komputer ‘cloud’, ‘deep learning’, jentera pembelajaran dan AI.