KOTA KINABALU: Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak pernah melakukan sebarang protes berkenaan larangan keluar masuk kampus.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2020/2021 UMS Razman Durhan berkata laporan sebuah portal yang mengeluarkan berita yang bertajuk “Bahana ‘Degil’ 19 mahasiswa positif, kini tiga kolej kediaman UMS dikenakan PKPD.” Berita ini telah mengundang banyak reaksi daripada pelbagai pihak termasuk pelajar UMS.
“Semua pandangan dan maklum balas daripada pelajar telah disalurkan mengikut kaedah yang sepatutnya melalui perbincangan bersama pihak pengurusan UMS.
“Oleh itu, tuduhan mengatakan terdapat protes dalam kalangan pelajar UMS adalah tidak berasas,”beliau berkata di satu kenyataan media.
Razman juga berkata sebelum keputusan keluar masuk diputuskan, semua pihak telah mengambil kira keadaan semasa persekitaran UMS terutamanya kes jangkitan COVID-19 di kawasan Kota Kinabalu yang semakin menurun sehingga ke satu angka. SOP juga dirangka untuk memastikan pematuhan pelajar berada pada tahap yang baik.
“Dalam isu ini, semua pihak harus berhenti menuding jari kepada sesiapa. Pihak pengurusan dan juga MPP telah berusaha sehabis baik demi kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa.
“Namun, tidak siapa boleh menjangka kepada siapa COVID-19 boleh menjangkiti.Ini adalah tempoh untuk kita bersama-sama berganding bahu menghadapi perkara ini.
“Saya percaya, pihak pengurusan telah melakukan yang terbaik demi pelajar. Selaku wakil pelajar, kami juga yakin para pelajar telah cuba sehabis baik mematuhi setiap SOP yang ditetapkan”
Beliau juga berkata daripada menyalahkan mana-mana pihak, adalah lebih baik mendoakan kesejahteraan mahasiswa yang berada di kampus.
Bermula 5 April sehingga 18 April 2021, seluruh kawasan kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin memberi jaminan akan sentiasa menjaga kesihatan fizikal dan mental pelajar yang berada di kolej-kolej kediaman dan kampus induk UMS Kota Kinabalu.
“Pelajar yang terkesan oleh PKPD boleh menghubungi bilik gerakan Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang beroperasi 24 jam melalui talian 088-320060. ”