16 premis dikenakan kompaun oleh KPDNHEP Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah mengambil tindakan kompaun serta merta terhadap 16 premis di seluruh Sabah.

Tindakan itu diambil menerusi Ops Pantau yang dilaksanakan sehingga semalam selepas operasi dilancarkan oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 14 April lalu.

Pegawai penguatkuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan barang di premis perniagaan menerusi Ops Pantau di seluruh Sabah.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, sepanjang operasi itu dilaksanakan sebanyak 1,167 premis perniagaan diperiksa di seluruh Sabah.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 20 tindakan kes dengan nilai rampasan berjumlah RM6,665 telah dihasilkan dan daripada 20 kes itu sebanyak 16 kes telah dikompaun serta merta dengan jumlah hasil kutipan sebanyak RM1,700 manakala empat kes lagi masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelbagai kesalahan berjaya dikesan dilakukan pemilik premis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk 14 kes berkaitan kegagalan peniaga mempamerkan penandaan harga terhadap barangan yang dijual dan tiga kes di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 iaitu peniaga tidak menyelenggarakan Buku Penyata Stok barangan kawalan yang dijual.

“Selain itu, dua kes di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 iaitu menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan dan satu lagi kes di bawah Akta Pelindungan Pengguna (APP) 1999 iaitu harga yang mengelirukan,” katanya.

Georgie berkata lagi, sepanjang operasi itu, KPDNHEP Sabah juga telah mengeluarkan sebanyak 29 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 terhadap barangan.

“15 NPMB melibatkan air kosong, sembilan NPMB melibatkan bahan binaan dan lima NPMB yang berkaitan dengan harga ayam.

“NPMB ini telah dikeluarkan bertujuan untuk mendapatkan maklumat harga dan kos barangan yang terlibat,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, KPDNHEP Sabah turut menerima pelbagai aduan termasuk 20 aduan berkaitan transaksi dalam talian, lapan aduan berkenaan harga, empat aduan berhubung dengan perkhidmatan yang mengelirukan dan satu aduan berkaitan barang kawalan.

Terdahulu, Georgie berkata, KPDNHEP Sabah akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan serta pemeriksaan sepanjang ramadan dan menjelang perayaan hari raya bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa mencukupi.

“Selain itu, ini bagi membantu peniaga menjalankan perdagangan yang kompetitif dengan mematuhi perundangan di bawah bidang kuasa KPDNHEP,” katanya.

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.