Kenyataan akhbar daripada Lembaga Pelancongan Sabah
TAMBUNAN: Seramai 30 pengusaha ekopelancongan dan pelancongan berasakan komuniti di daerah ini berjaya mendapat kelulusan permohonan bantuan peruntukan khas di bawah Sabah New Deal.
Mereka adalah antara 507 penerima di seluruh negeri yang telah dan bakal menerima bantuan kewangan kerajaan negeri bertujuan membantu pemain industri pelancongan desa kembali meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.
Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menyelaraskan pengagihan bantuan khas tersebut yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM10 juta.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai berkata peranan penggiat industri pelancongan luar bandar amat penting pada ketika ini lebih-lebih lagi apabila Kementerian beliau memberi fokus kepada pelancongan domestik.
“Langkah Kementerian memfokuskan pelancongan domestik sementara menunggu pembukaan semula sempadan antarabangsa akan memberi manfaat kepada pengusaha pelancongan luar bandar.
“Pengendali pelancongan desa mampu menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri, terutama apabila kerajaan negeri komited untuk menjadikan pelancongan sebagai sumber pendapat baru bagi penduduk luar bandar,” katanya.
Joniston, yang juga pengerusi STB, berkata Kementerian giat mendorong rakyat negeri ini untuk melancong secara domestik dan ‘travel bubble’.
Tambahnya, ini bagi membantu menjana pendapatan pengusaha pelancongan luar bandar, sambil mempromosikan tempat pelancongan yang menarik ketika pandemik.
“Berdasarkan laporan yang kita terima, terdapat peningkatan mendadak pengunjung ke tempat-tempat tarikan pelancongan di kawasan luar bandar sejak kebelakangan ini.
“Kita yakin dan berharap trend ini akan berterusan,” katanya.

Baru-baru ini, Joniston menyampaikan peruntukan khas Sabah New Deal kepada 10 pengendali pelancongan desa di Kampung Solibog di sini.
Majlis penyampaian itu turut disaksikan oleh Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Tambunan Sobitun Makajil; Presiden Persatuan Pelancongan Tambunan Patricia Kitingan; Presiden Persekutuan Pelancongan Luar Bandar Sabah Walter Kandayon; dan Ahli Lembaga Pengarah STB Dusin Gingging.
Dalam lawatan beliau ke daerah Tambunan, Joniston turut meninjau potensi produk-produk pelancongan berasaskan komuniti dan mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi oleh para pengusaha yang terjejas akibat pandemik Covid-19.