KOTA KINABALU: Tindakan kompaun RM50,000 yang dikeluarkan terhadap peniaga gerai sinalau bakas di Jalan Sulaman, pada Isnin lalu, adalah tindakan wajar dan bukan dibuat sesuka hati tanpa budi bicara Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, tindakan itu diambil selepas didapati ada berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pihak PDRM telah menerima banyak aduan terutama daripada penduduk sekitar bahawa peniaga ini menjalankan perniagaan tidak mengikut SOP yang ditetapkan selain memasang muzik dan berkaraoke hingga jauh lewat malam serta menjual minuman keras.
“Perkara ini mengundang rasa tidak puas hati penduduk kampung kerana menganggu ketenteraman penduduk kampung yang ingin tidur dan berehat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Menurut Hazani, PDRM juga mempunyai bukti bergambar bahawa terdapat kesalahan dan pelanggaran SOP yang dilakukan peniaga itu.
“Ketika kejadian, polis hanya mengeluarkan kompaun kepada pesalah ini sedangkan terdapat kesalahan lain yang membolehkan pihak polis membuat tangkapan dan rampasan atas kesalahan yang dilakukan.
“Antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak memiliki lesen perniagaan atau lesen tamat tempoh, tidak memiliki lesen menjual minuman keras, tidak memiliki lesen hiburan awam dan tidak memiliki permit jual beli daging buruan (Jabatan Hidupan Liar),” katanya.
Bagaimanapun, Hazani berkata, peniaga terbabit telah memutar belit perkara itu termasuk mengatakan dua lagi pelanggan turut dikompaun.
“Yang sebenarnya, dua pelanggan yang dikatakan itu adalah pekerja kepada pemilik gerai itu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya masyarakat dan netizen tidak memutarbelitkan perkara ini tanpa mendengar penjelasan daripada kedua belah pihak.
“Penularan kisah sebelah pihak ini telah menjadi satu provokasi kepada pasukan keselamatan yang selama ini telah banyak mengguna budi bicara selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial seorang peniaga sinalau bakas di Jalan Sulaman dikenali sebagai Rayner Lingtin berkongsikan kisahnya dikompaun sebanyak RM50,000 kerana melanggar SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh polis.
Peniaga terbabit mendakwa bahawa ketika itu operasinya telah ditutup dan perkara tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen dan rata-rata mengecam pihak berkuasa.