Community

Tenom berpotensi jadi hab agro-pelancongan

Terletak lebih kurang 150 kilometer dari ibu negeri Sabah, daerah Tenom bukan sahaja menjadi lokasi pelancongan luar bandar tetapi juga tumpuan untuk sektor pertanian.

Dengan tanah yang subur dan muka bumi berbukit-bakau berlatarkan Hutan Hujan Tropika, sememangnya Tenom terkenal sebagai pengeluar pertanian di negeri ini dan dilihat berpotensi besar menjadi hab destinasi agro-pelancongan.

Mengambil peluang keuntungan ekonomi berasaskan agro-pelancongan, ramai penduduk tempatan mengusahakan pusat pelancongan berkonsepkan pertanian ladang.

Salah satunya adalah Padas Farmstay yang terletak di Kampung Paal.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Joniston Bangkuai bersama Pengurus Padas Farmstay Tham Yau Siong. – Picture courtesy of Sabah Tourism Board

Pengurus Padas Farmstay, Tham Yau Siong berkata, prospek agro-pelancongan adalah cerah kerana ia mampu meneruskan kelangsungan ekonomi penduduk kampung walaupun industri pelancongan terbantut, terutama waktu pandemik.

Sejak wabak Covid-19 melanda, Tham beralih perniagaan pelancongannya ke pertanian agar kekal lestari walaupun tidak menerima kedatangan pelancong sejak setahun lebih.

Dia juga mengekalkan pekerjanya dengan memberikan mereka latihan peningkatan kemahiran dalam bidang penanaman bagi tujuan mencari alternatif menambah nilai produk pelancongan sedia ada.

Terletak dalam kawasan tanah seluas 25 ekar, Padas Farmstay telah menghasilkan pelbagai jenis tanaman seperti nenas, markisa, serai, ubi kayu, durian, limau, dan yang terbaru adalah kopi.

Tham berkata daerah Tenom terkenal dengan kopi, namun penanam kopi dilihat berkurangan disebabkan pengaruh besar penanaman kelapa sawit.

“Tahun lepas, kita telah mula mengusahakan penanaman kopi. Kebun kopi ini mampu menambah nilai dan menjadi lokasi destinasi pelancongan yang berkualiti.

“Saya melihat pelancongan desa berasaskan komuniti di Tenom dapat diperkasakan dan kadar kemiskinan dapat dikurangkan jika setiap keluarga mengusahakan kebun kopi kecil serta tanaman lain,” tambahnya.

Katanya lagi, Padas Farmstay turut memfokuskan penanaman limau kapas, limau kasturi, dan limau purut untuk menghasilkan produk yang dapat dipasarkan seperti minyak pati, minyak urut, dan minuman.

Dengan mempratikkan kemahiran baru, Tham dan pekerjanya telah menghasilkan produk baru minyak pati dengan wangian limau kapas dan serai.

Produk minyak pati ini telah pun berada di pasaran sejak tahun lepas dan boleh didapati di kedai Pick & Pay.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Joniston Bangkuai melawat kebun Padas Farmstay sambil mendengar taklimat mengenai penanaman limau kapas daripada pengurus Tham Yau Siong. – Picture courtesy of Sabah Tourism Board

Sebelum pandemik, Padas Farmstay menerima ramai pengunjung domestik dan antarabangsa, di mana mereka berpeluang mempelajari penanaman dan penghasilan tanaman tempatan serta mengambil bahagian dalam kerja komuniti.

Baru-bari ini, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Joniston Bangkuai telah melawat Padas Farmstay untuk meninjau perkembangan pelancongan dan potensi daerah Tenom sebagai hab agropelancongan di negeri ini.

Joniston, yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, berkata pencapaian Padas Farmstay boleh dijadikan contoh baik kepada pengusaha pelancongan tani yang lain untuk komited dalam meningkatkan sektor agro-pelancongan.

“Di peringkat negeri, kita memberikan penekanan terhadap agro-pelancongan dan kita telah menubuhkan satu jawatankuasa bersama yang melibatkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar; Kementerian Pertanian dan Perikanan; dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Kita bergabung dalam usaha mengembangkan lagi pelancongan desa dan pelancongan berasaskan pertanian. Tenom mempunyai potensi besar untuk menjadi sektor agro-pelancongan yang kompetitif dan mampu mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.