BEAUFORT: Seramai 167 ketua isi keluarga (KIR) yang terjejas akibat banjir di Kampung Batandok Lubak, di sini, menerima bantuan bakul makanan hari ini.
Bantuan itu melibatkan 110 rumah yang terjejas selepas banjir melanda daerah ini sejak 16 hingga 27 Mei lalu.
Ketua Kampung Batandok Lubak, Daineh Ojeh berkata, bantuan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan, Ruslan Muharam.
“Antara bantuan yang disampaikan termasuk air minuman, beras, gula, minyak, roti serta makanan dalam tin bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
“Pengagihan bantuan bakul makanan giat dilakukan sejak pagi tadi kepada 167 KIR di kampung ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

tamat
Sementara itu, diminta mengulas berhubung masalah kekurangan bekalan air bersih di kampung itu, Daineh berkata, sejak banjir melanda seluruh penduduk turut terjejas tidak menerima bekalan air bersih.
“Sehingga kini air terpaksa dicatu menyebabkan kami kekurangan air bersih dan memerlukan minuman bersih yang dibeli atau ihsan bantuan orang ramai.
“Rata-rata penduduk di seluruh daerah ini turut terkesan dan sehingga kini masih ada segelintir penduduk belum dapat membersihkan keseluruhan rumah yang dipenuhi lumpur akibat banjir kerana ketiadaan air sejak dua minggu lalu,” katanya.
Terdahulu, Ruslan ketika dihubungi berkata, bantuan bakul makanan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Lumadan sedang giat dilakukan dengan melibatkan seramai 7,000 penduduk.
“Setakat ini kita sudah salurkan kepada 5,000 penduduk dan bantuan ini adalah daripada kerajaan negeri, pejabat Adun, sumbangan dari badan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian,” katanya.