Siaran akhbar dikeluarkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah
Memiliki suhu sejuk dan hutan hijau yang lebat, Gunung Alab yang terletak di kawasan Taman Banjaran Crocker merupakan salah satu destinasi terbaik di Sabah untuk “lung cleansing” atau terapi alam.
Dengan suhu mencecah 11-18 darjah Celsius, tempat ini adalah alternatif yang ideal bagi pengunjung yang mahu mencari tempat sejuk untuk bercuti sambil menikmati alam semulajadi.
Laluan trekking menarik menuju ke kawasan air terjun dari Sub-stesen Gunung Alab turut memberi pengalaman “mandi hutan” kepada pengunjung.
Ia adalah istilah dan konsep kesihatan yang popular di Jepun yang bermaksud meluangkan masa menikmati alam dan udara segar untuk menghilangkan stres serta meningkatkan kesihatan diri.
Di sepanjang laluan trekking 1.5km dari Sub-stesen Gunung Alab, terdapat tiga air terjun iaitu Kitomoling Sokid, Kitomoling Tengah, dan Kitomoling Siba.
Untuk sampai ke air terjun Mahua, pengunjung perlu mendaki laluan 12km dan melalui puncak Minduk Sirung pada ketinggian 2,075m. Laluan trek ke Sub-stesen Mahua ini biasanya mengambil masa sekitar lapan jam.
“Ramai orang tempatan dan pelancong antarabangsa telah menyusuri laluan ini untuk menikmati udara segar dan alam semula jadi.
“Di sepanjang laluan ini ada disediakan kawasan perkhemahan dan ramai juga pendaki memilih untuk berkhemah di hutan,” kata Benidict Joseph Busin yang merupakan renjer Taman-Taman Sabah.
Renjer Taman-Taman Sabah dan Pengurus Sub-stesen Gunung Alab Benidict Joseph Busin . – gambar kredit Lembaga Pelancongan Sabah
Pengurus Sub-stesen Gunung Alab itu juga berkata pengunjung boleh melakukan aktiviti lawatan singkat ke Taman Orkid dibawah kendalian Taman-Taman Sabah untuk mengetahui tentang tanaman orkid liar yang terdapat di negeri ini.
Benidict berkata Sabah mempunyai lebih 6,000 spesis orkid liar dan kebanyakkan tumbuhan ini terdapat di Gunung Alab.
“Kita telah memungut beberapa spesis orkid di hutan untuk ditanam semula di Taman Orkid agar para pengunjung dapat melihat tumbuhan ini secara dekat. Taman ini mempunyai lebih dari 100 spesis orkid.
“Ini termasuk spesis baru yang ditemui lebih kurang dua tahun lalu. Kita menamakan spesis tersebut sebagai Thrixspermum benidicti,” tambahnya.
Taman Orkid ini dilengkapi dengan platform pejalan kaki sepanjang 400m yang mengelilingi kawasan taman untuk kemudahan pengunjung.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, berkata produk pelancongan “lung-cleansing” mempunyai pasaran, terutama apabila rakyat tempatan menunjukkan minat untuk meneroka alam semula jadi negeri ini ketika pandemik.
“Selain bekerja dengan agensi berkaitan dalam Kementerian, STB sentiasa bekerjasama dengan jawatankuasa pelancongan pejabat daerah untuk mengenal pasti lebih banyak produk eko-pelancongan sebegini.
“Kita harus mengembangkan konsep pelancongan “lung-cleansing” bagi menggalakkan orang ramai serta masyarakat setempat untuk kembali ke alam dan melindungi alam semula jadi kita,” katanya, selain memberi sumber pendapatan kepada penduduk kampung.
Antara daerah yang terkenal dengan potensi produk pelancongan “lung cleansing” adalah Kadamaian, Kiulu, Ranau, dan Tambunan.