KOTA KINABALU: Kluster Ocean Blue yang melibatkan kapal tentera yang bertolak dari Perak kini mencecah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 157.
Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata pada Jun 14, pihak AngkatanTentera Malaysia telah melaporkan 29 lagi kes terbaru melibatkan tentera laut.
Dengan sumbangan kes daripada kluster Ocean Blue, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi di Sabah iaitu 86.
“Penyumbang kepada jumlah kes di Kota Kinabalu yang agak tinggi hari ini dengan kumulatif 86 kes sebahagiannya adalah daripada 4 kluster berlainan, iaitu sebanyak 57 kes dengan 29 kes didominasi oleh Kluster Ocean Blue yang telah mencatat kumulatif 157 kes hingga kini.
“57 kes Saringan Kluster (Kota Kinabalu) hari ini dilakukan oleh pihak ATM (29 kes dari Kluster Ocean Blue) dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (28 kes).”
kluster Ocean Blue merupakan kluster jenis tempat kerja melibatkan kru kapal KD Mahawangsa di mana kluster dikesan semasa saringan prosedur terhadap 185 kru kapal yang baru tiba dari Perak pada 06 Jun 2021.
“Kes indeks adalah kru kapal, lelaki, 29, mula bergejala pada 03 Jun 2021 kemudian didapati positif sejurus tiba di pangkalan dan telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut.
“Pada 07 Jun 2021, keputusan saringan seumpama menunjukkan 98 lagi kru kapal dikesan positif COVID-19, manakala 86 kru masih menunggu keputusan.
“Berdasarkan siasatan awal, semua kru disahkan negatif dalam saringan pada 28 Mei 2021 di Perak sebelum memulakan pelayaran ke Sabah pada 01 June 2021. “