KOTA KINABALU : Menyedari situasi keluarga yang kurang berkemampuan, seorang pelajar cemerlang tidak kisah menggunakan buku terpakai dijadikan sebagai bahan rujukan untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Enam buku rujukan yang dibeli daripada rakan senior dengan harga RM100 dianggap berbaloi apabila Adneera Hew, 18, berjaya meraih keputusan semua A bagi sembilan mata pelajaran yang diambilnya.

Menurutnya, keputusan itu hasil daripada usahanya yang belajar bersungguh-sungguh walaupun hanya menggunakan buku lama selain turut berhadapan dengan cabaran belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
“Dalam keadaan sekolah menjalani PdPR, saya cuba untuk memahami setiap mata pelajaran yang diajar cikgu.
“Jika tidak faham, saya akan rujuk pada rakan atau cikgu yang mengajar. Saya juga menggunakan buku terpakai yang dibeli daripada senior untuk dijadikan rujukan.
“Alhamdulillah, hasil daripada usaha ini, saya bersyukur kerana menerima keputusan yang cemerlang dalam SPM kali ini,” katanya yang bersekolah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Kinabalu.
Adneera berkata lagi, sokongan ibunya yang juga ibu tunggal sangat membantunya untuk mendapat keputusan yang cemerlang.
“Ibu saya sangat menyokong usaha saya dengan menyediakan semua keperluan untuk belajar walaupun dia terpaksa membesarkan kami sendiri,” katanya yang juga anak pertama daripada empat beradik.
Menurut ibunya pula, Radjiya Hasran, 47, dia bersyukur walaupun dengan berniaga menjual produk jamu namun dia dapat memudahkan urusan pendidikan anaknya sehingga lulus dengan cemerlang dalam SPM.

“Memang sukar sebagai ibu tunggal membesarkan dan memberi pendidikan kepada anak-anak namun saya bangga akhirnya membawa hasil yang memuaskan,” katanya yang sudah berniaga sejak 2017.
Sementara itu, seorang lagi pelajar Mohammad Aldrilsham Abd Latip, 18, menganggap PdPR sangat mencabar kerana terpaksa belajar di rumah dan tidak sama seperti di sekolah.

“Di sekolah kita boleh fokus sepenuhnya tetapi di rumah dalam keadaan adik-beradik yang ada di rumah adalah satu cabaran untuk saya.
“Namun ibu bapa sangat memberi sokongan dengan sentiasa menyediakan semua keperluan termasuk komputer riba selain diberi bilik berasingan untuk belajar tanpa sebarang gangguan daripada adik,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.
Mohammad Aldrisham yang juga pelajar MRSM Kota Kinabalu mendapat keputusan 9A dan 1B merasakan ini kejayaan yang harus diraikannya.
“Saya dalam perancangan mahu mendapatkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat A-Level dan seterusnya merancang untuk melanjutkan di luar negara,” katanya yang menetap di Petagas, Putatan.