RANAU : Sebanyak 1,000 kilogram (kg) ikan diagihkan secara percuma kepada penduduk kampung sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Kundasang, semalam.
Inisiatif itu dilaksanakan oleh Ahli Dewan Dewan Undangan Negeri (Adun) Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam melalui pegawainya selepas mendapati penduduk kampung sukar untuk mendapatkan barangan keperluan terutama ikan di kawasan tanah tinggi itu.
Menurut Pegawai Khas Joachim, Fadzil John Anthony, pihaknya mengambil inisiatif untuk membantu penduduk kampung yang terjejas akibat pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula sejak 1 Jun lalu.
“Dalam keadaan kita berhadapan dengan PKP ini, sukar untuk kita keluar namun dalam masa sama, kita menerima banyak rungutan daripada penduduk bahawa sukar untuk mendapatkan bekalan ikan.
“Jadi kita berusaha menghubungi rakan nelayan dengan mendapatkan sumbangan ini dan sebanyak 1,000 kg ikan diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) daripada sembilan kampung sekitar Dun ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sembilan kampung yang terlibat ialah Kampung Tinutuan, Kampung Lobou Timbua, Kampung Tebut, Kampung Kembiroi, Kampung Lobou Baru, Kampung Merungin 1, Kampung Merungin 2, Kampung Pinampadan dan Kampung Tumbalang.
Beliau berkata, selain ikan, pihaknya juga berusaha untuk mendapatkan sumbangan daripada pihak pasar raya terdekat untuk membantu KIR yang memerlukan.
Sementara itu, Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, pihaknya sangat menghargai bantuan daripada pihak yang sudi memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pemilik kapal pukat, Alkarim Mussapa atas sumbangan ikan untuk diberikan kepada penduduk kampung dalam kawasan Dun Kundasang yang terjejas.
“Orang ramai juga dialu-alukan untuk membantu mereka yang terjejas akibat pelaksanaan PKP 3.0 ini,” katanya.