KUCHING: Rainforest World Music Festival (RWMF) kembali membawakan keseronokan selama tiga hari dari 18 hingga 20 Jun 2021, kali ini secara maya dan percuma!
Persembahan tahun ini akan disiarkan melalui Shopee Live dari jam 6 petang, memberikan akses kepada berjuta-juta rakyat di seluruh negara untuk menikmati festival muzik ini dari keselesaan rumah mereka sendiri, berikutan penobatan Shopee sebagai Rakan E-dagang Rasmi.
Sejak tahun 1998, RWMF telah berkembang menjadi acara yang dinanti-nantikan setiap tahun.
Acara ini meraikan budaya dan warisan melalui gubahan muzik indah. Setiap tahun, pengunjung festival dari seluruh dunia akan berkumpul di kaki Gunung Santubong di Sarawak untuk menikmati kepelbagaian muzik dunia melalui bengkel, pameran budaya serta kraftangan, makanan, dan konsert.
Tahun lepas, pesta ini dibatalkan berikutan penularan wabak Covid-19.
Rainforest World Music Festival 2021 Virtual Experience akan menampilkan barisan artis yang menarik: Alena Murang – artis kelahiran Borneo yang berbangsa Dayak-Eropah yang baru-baru ini telah mengeluarkan album berjudul Sky Songs; KEMADA, Sang Rawi, Mathew Ngau, At Adau, Suk Binie’, Nading Rhapsody dan juara Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) Tuku‘ Kame’.
Sharzede Datu Hj Salleh Askor, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak berkata, “RWMF adalah sebuah acara berprestij yang menyatukan masyarakat melalui muzik dan budaya, sambil memperkenalkan mereka kepada keindahan dan permata negeri Sarawak. Kerjasama kami bersama Shopee membolehkan kami untuk terus mempersembahkan acara muzik ini walaupun dengan cara yang berbeza.
Sesi temu ramah bersama para pemuzik, pemberian hadiah, pertunjukan persembahan dari tahun-tahun lalu dan banyak lagi juga akan diadakan.
“Walaupun kami tidak dapat mewujudkan pengalaman dan suasana persembahan secara langsung, kami berharap para peminat dan rakyat Malaysia masih dapat menikmati acara yang menyeronokkan ini bersama keluarga mereka di rumah.”
Selain daripada RWMF, Borneo Jazz Festival (BJF) tahun ini yang akan berlangsung pada hujung minggu berikutnya turut akan disiarkan melalui Shopee Live. Para penonton akan dihiburkan oleh barisan pemuzik jazz termasuk Clinton Jerome Chua, O-Ha Soul Band, Nisa Addina, Ta’Dan dan “Prince of Borneo” – Pete Kallang, dari 25 hingga 27 Jun pada jam 6 petang.
Untuk mewujudkan pengalaman maya yang lebih menarik lagi, Lembaga Pelancongan Sarawak telah membuka kedai rasminya di Shopee untuk menampilkan produk-produk dari kedua-dua acara RWMF dan BJF.
Ini termasuk baju-T Edisi Terhad RWMF dan BJF, Pelitup Muka Batik Linut Edisi Terhad, Pelitup Muka Bercorak Batik Edisi Terhad dan produk-produk istimewa lain dari Bumi Kenyalang.
Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee berkata, “Kami memahami bahawa RWMF dan BJF yang dinanti-nantikan akan berlangsung secara maya buat pertama kali dan kami amat teruja untuk menyiarkan acara-acara muzik ini di Shopee Live kepada rakyat Malaysia di seluruh negara.
“Sokongan kami kepada bakat-bakat tempatan tidak terhad kepada teknologi sahaja, malah kami turut akan mempamerkan produk-produk unik dari Sarawak.
Untuk maklumat lanjut mengenai RWMF serta BJF di Shopee Live, dan barangan edisi terhad, layari https://shopee.com.my/m/rwmf-shopee-live
Tertakluk kepada terma dan syarat.