KOTA KINABALU: Setakat Jun 28, Sabah telah menerima sejumlah 628,390 dos vaksin jenis Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca, untuk kegunaan rakyat di negeri ini setakat 28 Jun lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata demikian dalam taklimatnya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang hadir sempena majlis penyerahan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Dewan Masyarakat Manggatal di sini hari ini.
“Sebanyak 555,761 dos sudah digunakan untuk dos 1 dan 2 bagi tiga jenis vaksin itu. Baki vaksin kini adalah sebanyak 72,598 dos.
“Setakat ini juga, sebanyak 152 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sabah yang antaranya membabitkan fasiliti kesihatan selain hospital dan klinik swasta serta dewan dan premis swasta yang dijadikan PPV sebagai projek CSR (tanggungjawab sosial korporat),” katanya.
Bagi program mobile outreach, Dr Christina berkata sebanyak 16 daerah yang terbabit dengan 20 pasukan klinik bergerak serta 195 lokaliti.
“Sebanyak 19,310 dos vaksin (dos 1) telah diberikan membabitkan jenis Pfizer dan Sinovac,” katanya.
Mulai esok (July 1), Sabah sasar 30,000 dos vaksin sehari akan diberi kepada rakyat Sabah untuk mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya hujung tahun ini.