LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mula beroperasi untuk pemberian vaksin dos kedua secara pandu lalu.
Pengarah UMSKAL Profesor Dr Jualang Azlan Gansau berkata operasi PPV secara pandu lalu itu akan dilaksanakan sehingga tamat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Labuan namun bergantung kepada arahan semasa.
PPV secara pandu lalu ini hanya melibatkan pemberian vaksin dos kedua bagi membantu mengurangkan kesesakan di PPV awam yang lain dengan kapasiti pemberian sebanyak 800 hingga 1,000 orang sehari.
“PPV ini akan dijalankan di sekitar perkarangan UMSKAL dan ia merupakan hasil kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan dan UMSKAL sendiri.
“Seramai 20 petugas kesihatan termasuk dua Jururawat Klinik Rawatan Warga Kampus Antarabangsa Labuan selain beberapa lagi sukarelawan MyVac dan sukarelawan komuniti akan membantu menjayakan PPV secara pandu lalu ini.
“Dua orang Jururawat dari Klinik Rawatan Warga Kampus Antarabangsa Labuan akan bertugas sebagai ‘vaccinator’ selain seorang doktor dan seorang pembantu pegawai perubatan turut membantu secara berkala,” katanya.
Sementara itu, Dr Ismuni ketika ditemui media memberitahu, kemudahan PPV Pandu Lalu di UMSKAL itu merupakan PPV ketujuh di Labuan dan yang pertama disediakan secara pandu lalu bagi memudahkan penerima vaksin menerima suntikan.
Katanya, usaha ini membolehkan sasaran 80 per cent penduduk berumur 18 tahun ke atas menerima vaksin dapat dicapai menjelang bulan Ogos ini sekaligus membantu Labuan menjadi kawasan yang pertama mencapai imuniti kelompok di negara ini.