KOTA KINABALU – Seramai 360 ketua isi rumah (KIR) membabitkan lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kundasang menerima bantuan daging ayam dan telur ayam.
Bantuan itu membabitkan sebanyak 500 pek daging ayam dan 500 tray telur ayam diagihkan kepada penduduk yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Fadzil John Anthony yang juga Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam memaklumkan inisiatif itu diambil selepas mengambil kira kesukaran penduduk kampung keluar mendapatkan bekalan makanan harian di kawasan itu.
“Sumbangan ini diusahakan oleh saya sendiri dengan mendapatkan bekalan daripada pembekal yang ada untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Singgaron, Kampung Langsat, Kampung Debut Langsat, Kampung Kirokot dan Kampung Kilanas.
“Hari ini kita sampaikan sebanyak 500 pek daging ayam, 500 pek kaki ayam dan 500 pek telur ayam kepada 360 KIR dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) Langsat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, sumbangan itu diberikan oleh Syarikat Eng Peng Cold Storage Kota Kinabalu dan disampaikan sendiri oleh Penyelia Pemasaran syarikat, Rosalind Maksimom.