SANDAKAN: Kanak-kanak berusia 2 tahun ditemui awal pagi tadi dipercayai lemas selepas terjatuh dari anjung rumahnya di perkampungan atas air Pulau Bai.
Mayat mangsa ditemui terapung oleh penduduk kampung sekitar jam 6.30 pagi tadi di lokasi 1 batu nautika utara Pulau Bai dan dihantar ke rumah keluarga mangsa untuk pengesahan.
Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, Maritime Sub Rescue Centre (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan Operasi CARILAMAT (SAR) pada jam 6.00 petang semalam sejurus menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut.
Operasi CARILAMAT dipecahkan kepada lima sektor meliputi keluasan 27 batu nautika persegi dengan penglibatan lima aset laut terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Mayat kemudian dibawa ke Jeti Pejabat Pos Sandakan bersama bapanya dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama (M) Datuk Mohd Rosli bin Abdullah mewakili pihak Maritim Malaysia merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi serta komuniti nelayan yang terlibat sepanjang operasi CARILAMAT dijalankan sehingga ditamatkan pada pukul 8.00 pagi tadi.