KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah tidak akan halang pihak orang awam dan NGO untuk menolong pendatang asing tanpa izin (PATI).
Jurucakap Covid-19 Datuk Seri Masidi Manjun merujuk kepada satu laporan berita bertajuk “Semakin Ramai PTI Turut Pasang Bendera
Putih” terbitan sebuah akhbar tempatan bertarikh 15 Julai 2021.
Masidi berkata pihak Kerajaan Negeri Sabah pada dasarnya hanya memberikan bantuan kepada rakyat yang berstatus warganegara sahaja.
“Adalah dimaklumkan bahawa, Jabatan Imigresen Sabah telah melakukan pemantauan di kawasan yang dimaksudkan.
“(Mereka) mendapati masih terdapat sejumlah tujuh (7) bendera bewarna putih yang diikat bersama papan dan keratan kotak tertera nombor telefon serta nama yang isi kandungan tulisan pada papan dan kotak itu berupa memohon bantuan makanan daripada orang ramai.
“Tindakan telah diambil dengan menghubungi nombor telefon yang berkenaan, yang mendapati pemilik nombor telefon tersebut terdiri daripada tujuh (7) keluarga dari kalangan wanita warganegara Filipina,” beliau berkata di satu kenyataan media.
Keluarga-keluarga tersebut yang terdiri daripada golongan tua dan anak kecil tinggal di kawasan setinggan Bukit Bantayan Kiansom, Inanam.
“Siasatan melalui perbualan telefon ini juga mendapati mereka tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi berikutan sumber pendapatan adalah bergantung sepenuhnya dengan suami yang kini berada di daerah Kota Belud yang difahamkankan bekerja.
“Sekatan perjalanan antara daerah dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini menyebabkan halangan untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing sekaligus menyebabkan berlakukanya keadaan sedemikian”