KOTA KINABALU : Pendekatan ‘walk-in’ dan pandu lalu wajar dipertimbangkan kepada rakyat Sabah yang belum lagi menerima temujanji khususnya di kawasan luar bandar memandangkan sebahagian mereka tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata melalui pendekatan tersebut, selain melalui MySejahtera, ia boleh memastikan Sabah dapat mencapai sasaran imuniti berkelompok dalam tempoh yang disasarkan.
Beliau juga menyeru kerajaan pusat khususnya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) diminta supaya menyegerakan penghantaran vaksin ke Sabah bagi memastikan pemberian vaksin di negeri ini berjalan lancar.
Berdasarkan data JKJAV, penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua di negeri ini amat rendah berbanding negeri-negeri lain dan perkara ini amat membimbangkan dengan peningkatan kes positif COVID-19 di Sabah sejak beberapa minggu lalu.
Jelas beliau, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan kerajaan negeri seperti pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) serta Program Outreach Vaksinasi COVID-19 sudah tentu sukar untuk mencapai sasaran vaksinasi sekiranya bekalan vaksin tidak mencukupi.
“Selaku wakil rakyat yang prihatin dengan kesejahteraan rakyat Sabah, saya meminta kerajaan pusat supaya menyegerakan penghantaran vaksin ke Sabah bagi memastikan kita (kerajaan negeri) dapat memberikan suntikan imunisasi kepada lebih banyak rakyat di negeri ini.
“Soal berkaitan kesihatan dan kebajikan rakyat Sabah perlu diutamakan”.
“Perkara ini tidak boleh dilengahkan kerana kita berdepan dengan ancaman virus COVID-19 yang lebih berbahaya ekoran penemuan varian baharu yang lebih mudah menular. Justeru kita perlu segera membentuk imuniti berkelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan, ” katanya.