KOTA KINABALU: Sabah berharap kadar vaksinasi akan dipertingkatkan 10,000 dos sehari, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau menyatakan dengan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin Integrasi pertama di Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bermula esok (Julai 28), ia akan membantu meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini.
“Bersama dengan program sedia ada iaitu Program Imunisasi Industri COVID-19 kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk pekerja industri, PPV Integrasi yang melibatkan dua organisasi Penjagaan Kesihatan swasta diharap dapat meningkatkan vaksinasi daripada 1,500 hingga 10,000 sehari.” kata Hajiji semasa melawat PPV di Keningau.
Sementara itu, beliau berkata Sabah akan menerima satu juta dos vaksin Pfizer dan menjangkakan penghantaran 1.8 juta dos vaksin CanSino yang diminta, menjelang bulan depan.