KUCHING: Institut Kemahiran dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengesan 180 lagi kes baharu varian delta.
Dengan penemuan baharu itu, Sarawak kini mencatatkan jumlah 273 kes Covid-19 varian delta.
Pengarah IHCM UNIMAS, Profesor Dr David Perera mendedahkan kesemua kes tersebut dikenalpasti melalui pengesanan dan pengawasan berterusan.
“Di bahagian Kuching kita telah mengenalpasti 124 kes varian Delta, di Lundu (8) dan Bau (5) serta beberapa kawasan lain iaitu di Bau, Kota Samarahan, Simunjan, Sri Aman, Miri dan Bintulu.
“Jumlah ini sekaligus mencatatkan kadar pengesanan varian Delta kepada 65 peratus daripada 137 sampel COVID-19 yang digunakan,” katanya dalam satu laporan.
Selain varian delta, setakat 27 Julai, tujuh kes terbaru juga telah dikenalpasti sebagai Indonesian Variant of Concern (B.1.466.2) dan dua kes varian Beta.
“Dua kes varian Beta, dan empat Indonesian Variant Of Concern telah dikenalpasti di Kuching, di Sibu (2) dan satu kes di Bintulu.
“Secara keseluruhan 343 Variant Of Concern (VOC) atau Variant Of Interest (VOI) telah dikesan di Sarawak daripada pesakit COVID-19,” katanya.