TUARAN: Hospital Tuaran wajar dinaiktaraf sebagai hospital pakar pertama di Sabah yang akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kepakaran kawalan infeksi (jangkitan), kata Ketua Menteri Hajiji Noor.
Beliau berkata kedudukan Hospital Tuaran di jalan utama bagi pembinaan jalan Pan Borneo dan laluan utama yang menghubungkan Bandaraya Kota Kinabalu, pantai barat utara dan pantai timur Sabah, amat sesuai untuk dinaiktaraf sebagai hospital pakar.
“Selain itu, hospital ini masih mempunyai kawasan tapak pembinaan yang mencukupi. Justeru, usaha menaiktaraf ke hospital pakar amat penting.
“Ini juga adalah permintaan tinggi daripada rakyat untuk mempunyai satu hospital pakar yang dilengkapi dengan kemudahan perubatan.
“Terutama ketika pandemik COVID-19 ini, usaha menaiktaraf Hospital Tuaran ini amat perlu dan kita berharap ia dapat direalisasikan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Sulaman di sini pada Sabtu.
Selain hospital pakar, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan negeri juga berharap kerajaan Persekutuan dapat membantu membina klinik kesihatan di dua kawasan di Tuaran iaitu Sulaman dan Pantai Dalit
“Dengan adanya kemudahan kesihatan ini, ia membolehkan penduduk setempat mendapat rawatan awal selain di hospital kerajaan,” katanya.
Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Kewangan negeri, Jasnih Daya dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai serta Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain.
Sabah akan terima 560, 720 dos vaksin termasuk Cansino
Mengenai jumlah vaksin, Hajiji berkata kerajaan negeri juga akan menerima sebanyak 560,720 dos vaksin termasuk CanSino selain Pfizer dan Sinovac, pada minggu depan.
“Ini akan merancakkan lagi momentum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terutama di kawasan pedalaman.
“Jika semuanya berjalan lancar, Sabah boleh mencapai 60 peratus rakyatnya menerima vaksinasi pada atau sebelum 15 September ini sekali gus membolehkan kita beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Amat menggembirakan apabila beberapa hari lalu juga, kita telah mencapai angka tertinggi vaksinasi harian melebihi 60,000 dos.
“Jika keadaan seperti ini berterusan, kita boleh mencapai imuniti kelompok sekurang-kurangnya pada
bulan Oktober atau November,” katanya sambil menambah jika melihat kepada pengurusan vaksinasi yang teratur ini, Sabah akan mencapai sasaran ini 60 peratus awal.
Beliau turut menerima taklimat berkaitan Hospital Tuaran yang disampaikan oleh
Pengarahnya, Dr G Mohan Gopal Naidoo.