KOTA KINABALU: Jumlah kes harian dijangka meningkat menjadi sekitar 3500 dan 3700 kes dalam 2 dan 3 minggu akan datang, kata pakar Perubatan Kesihatan Awam FPSK UMS Prof. Madya Dr Richard Avoi.
Beliau berkata berdasarkan trend peningkatan kes pada bulan Mei dan Jun, berkemungkinan kes akan terus meningkat dengan andaian bahawa lebih ramai orang terdedah kepada jangkitan ketika kurang kawalan pergerakan sosial dan liputan vaksinasi yang masih rendah.
Katanya, ini merupakan satu cabaran untuk mengekalkan kelangsungan hidup tatkala semua pihak masih berusaha menangani wabak pandemik pada masa ini.
“Dengan menggunakan model epidemiologi dan berdasarkan trend harian kes COVID-19 yang dilaporkan dari 1 Jun 2021 hingga 18 Jun 2021, diramalkan bahawa jumlah kes akan tetap meningkat dengan bilangan kes sekitar 2000-2500 dalam 2-3 minggu akan datang.
“Jika ditingkatkan jumlah populasi yang terdedah kepada jangkitan sebanyak 30%, Jumlah kes harian dijangka meningkat menjadi sekitar 3500 dan 3700 kes dalam 2 dan 3 minggu akan datang
“Justeru, keutamaan sekarang adalah untuk mengurangkan jumlah populasi yang terdedah kepada jangkitan COVID-19 melalui program vaksinasi,” kata Richard dalam satu kenyataan media.
Namun katanya, untuk meningkatkan jumlah populasi dengan vaksinasi lengkap, masih memerlukan sedikit masa lagi.
“Berdasarkan ramalan model ini, kemungkinan peningkatan kes tertinggi akan berlaku.
“Oleh itu, kita perlu membuat persediaan untuk menghadapi kemungkinan peningkatan ini, dan orang ramai disarankan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dan tinggal di rumah jika tidak ada keperluan penting untuk keluar,.”