TAWAU: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah menyampaikan anugerah kepada Klinik Sri Balung.
Pengamal Perubatan Am Swasta itu telah menerima anugerah PeKa B40 bagi pencapaian menjalankan saringan kesihatan tertinggi untuk tahun 2019-2020.
“Klinik Sri Balung telah menjalankan 6,568 saringan kesihatan, termasuk melalui aktiviti jangkau luar, kepada penerima PeKa B40 sepanjang tahun 2019 & 2020.
“Anugerah ini diberikan bagi menghargai pencapaian dan kerjasama yang diberikan dalam PeKa B40. Syabas dan tahniah kepada seluruh kakitangan Klinik Sri Balung atas kecemerlangan ini.
“Saya harap anugerah ini dapat memberikan motivasi agar lebih banyak saringan kesihatan dapat dilakukan, lebih cepat kita mengesan penyakit-penyakit tidak berjangkit dan seterusnya memantapkan penjagaan primer di dalam negara,” beliau berkata sempena lawatan kerja pada Sept 7.
Bagi tahun 2019 dan 2020, lebih 454 ribu orang kumpulan B40 telah menerima manfaat saringan kesihatan PeKa B40 dan pengamal perubatan swasta (GP) telah menyumbang lebih 284 ribu saringan kesihatan atau 63%.
Ditadbir oleh ProtectHealth, PeKa B40 adalah satu inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Untuk makluman, PeKa B40 adalah antara program baik yang dimulakan pada pemerintahan Pakatan Harapan di bawah pemimpinan mantan Menteri Kesihatan YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
“Mana-mana dasar atau program yang baik wajar diteruskan.”