Community

Wanita Ranau Haritah Kinsu serba boleh

RANAU: Bagi anak kelahiran Ranau Haritah Kinsu, 33, bukan sahaja cekap memasak dan menjahit tetapi juga mahir menjalankan perniagaan atas talian.

“Saya belajar berniaga sejak kecil lagi daripada ibu yang membuka kedai runcit di kampung dan beliau menjadi sumber inspirasi saya untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Semasa di universiti, saya berniaga kecil-kecilan dengan menjual kanta lekap secara atas talian dan selepas tamat pengajian, saya bekerja sebagai kerani di syarikat swasta di Kota Kinabalu dan sambil-sambil itu menjual masakan tradisi KadazanDusun secara atas talian,” katanya yang berkelulusan Sarjana Muda Kewangan Antarabangsa di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Wilayah Persekutuan Labuan.

Selain itu, Haritah turut mengambil tempahan membuat aksesori dan pakaian tradisi ‘Lapoi’ daerah Ranau dan ‘Sinuangga’ dari daerah Penampang.

MAHU TONJOL TRADISI KDMR

Sumber gambar: Jabatan Penerangan Sabah

Menurut  Haritah, minatnya yang mendalam terhadap tradisi Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) menyebabkan beliau mahu mengetengahkan motif pakaian dan aksesori tradisi kaum berkenaan menerusi hasil tangannya.

“Saya percaya tidak semua orang mampu untuk memiliki pakaian dan aksesori tradisional kerana harganya yang agak mahal.

“Jadi timbul idea saya untuk menjahit dan menjual produk tersebut dengan harga mampu milik.

“Maka terhasil aksesori rambut seperti ‘Susuga’ (cekak rambut), getah rambut dan pakaian yang berinspirasi motif tradisi KDMR,” ujarnya yang menamakan perniagaan atas taliannya ‘Huminodun’.

PEMILIHAN NAMA HUMINODUN

Sumber gambar: Jabatan Penerangan Sabah

Tambah Haritah, nama ‘Huminodun’ dipilih memandangkan ia bersempena dengan nama anak perempuannya.

“Saya percaya bagi peminat tradisi, mendengar saja nama tersebut pasti mereka akan dapat meneka produk hasil tangan saya.

“Bagi saya, nama ini mempunyai keunikan dan maksud yang baik serta dekat dengan jiwa KDMR selain berkait rapat dengan produk yang saya jual iaitu produk bertemakan tradisi,” jelasnya.

Tambahnya lagi, mendengar sahaja Huminodun, pasti teringat pertandingan Unduk Ngadau yang diraikan setiap tahun.

SEMANGAT HUMINODUN

Beliau turut memberitahu cabaran utama dalam menjalankan perniagaan tradisi adalah mencari idea dan kelainan terhadap produknya.

“Saya mengambil masa mengkaji dan belajar tentang kaum lain di negeri ini agar mudah untuk saya mencari idea motif sesebuah kaum dapat ditonjolkan menerusi produk saya.

“Selain itu, cabaran dari segi mencari bahan-bahan dengan harga yang berpatutan,” kongsinya.

Tambahnya, dalam masa yang sama turut membantu para surirumah menambah pendapatan kerana bahan dan barang seperti manik dibeli daripada mereka.

Haritah turut berkata, mesej yang ingin disampaikan menerusi penghasilan produknya adalah supaya generasi muda mengenali pakaian dan aksesori tradisi kaum sendiri dan juga kepada masyarakat luar supaya dapat mengenali serba sedikit mengenai kelengkapan dan pakaian tradisi orang Sabah.

Tambahnya, adalah satu kerugian sekiranya khazanah budaya ini tidak dikekalkan dan warga KDMR sepatutnya berbangga dengan adat dan budaya sendiri.

Dalam pada itu, Haritah bersyukur walaupun perniagaannya agak perlahan semasa pandemik ini, permintaan terhadap hasil kraf tangannya tetap ada.

“Mungkin kerana saya menjual secara atas talian menerusi media sosial Facebook dan InstagramHuminodun’s Collection, jadi mudah para pelanggan membuat tempahan dari seluruh Sabah mahupun dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

“Saya berharap usaha kecil ini dapat membantu mengekalkan tradisi, adat dan budaya suku kaum di Sabah dan akan terus berkekalan pada masa akan datang,” katanya sebelum mengakhiri temu bual bersama pemberita.

Semoga usaha gigih ibu dua anak ini dapat memberi inspirasi serta semangat kepada lebih ramai wanita di luar sana untuk berkecimpung dalam bidang kraftangan dan menghasilkan produk-produk yang berinovatif hingga mampu menjulang nama di persada dunia. /Penerangan-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.