KENINGAU: Semalam Sabah menjadi tuan rumah untuk Sambutan Hari Malaysia ke-58 untuk peringkat kebangsaan.
Sambutan yang dibuat di Sabah International Convention Centre (SICC) dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, Yang diPertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, serta beberapa menteri-menteri Sabah.
Walau bagaimanapun, timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Jeffrey Kitingan tidak kelihatan di SICC mahupun mana-mana program bersama Perdana Menteri pagi semalam.
Rupa-rupanya, ahli parlimen Keningau itu menyambut Hari Malaysia di satu majlis Memperingati Asas Pembentukkan Malaysia yang telah dianjurkan bersama Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson di tapak Batu Sumpah Keningau.

Semasa majlis tersebut, Jeffrey memperingatkan rakyat dan pemimpin Malaysia tentang asas pembentukan Persekutuan Malaysia, dan tanggungjawab serta jaminan kerajaan Malaysia yang terpahat pada kepingan tembaga Batu Sumpah.
“Untuk Malaysia bergerak maju, syarat-syarat penubuhan dan perjanjian mesti dilaksanakan dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak harus diambilkira dalam semua aspek pembangunan.
“Kelihatannya suasana pandemik Covid-19 telah menghadkan perhimpunan yang besar. Namun semangat Batu Sumpah yang adalah dasar yang terpahat, merupakan tunjang tuntutan rakyat asal Sabah terhadap kerajaan Malaysia.”
Turut hadir adalah Adun Bingkor Datuk Robert Tawik, Adun Liawan Datuk Annuar Ayub @ Banand, Adun Tulid Flovia Ng.
Setiausaha agung parti STAR Senator Datuk Guandee Kohoi, Timbalan Presiden STAR Jalumin Bayogoh, Pengarah Strategik Parti STAR Edward Linggu, JP, Penolong Setiausaha Agung Parti STAR, Tuan Ardino Diris, Ketua Bahagian STAR N.07 Tandek, Tuan Joel Masilung, pegawai-pegawai kerajaan, wakil-wakil media dan PDRM yang bertugas.
Setelah tamatnya majlis tersebut, Jeffrey serta rombongannya menghadiri ke Program Derma Darah di Pasar Malam Keningau yang dianjurkan oleh Ketua Masyarakat Cina Keningau.
Orang awam yang menderma darah diberi 3kg beras, kupon bernilai rm20, face mask serta ‘gift bag’ yang ditaja oleh Jabatan Penerangan.