Community

SCENIC sedia pacu industri animasi di Sabah

KOTA KINABALU, 29 Sept 2021: Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) bersedia untuk memacu kejayaan industri animasi negeri ini setelah menerima status Pusat Latihan Toon Boom pertama di Malaysia.

Toon Boom adalah perisian animasi inovatif yang digunakan oleh syarikat animasi bertaraf dunia seperti Disney, Nickelodeon, dan Warner Bros. Animation.

Pencapaian itu adalah sebahagian daripada rancangan lima tahun pusat tersebut di bawah Teras Kreatif untuk membimbing bakat kreatif di Sabah dalam bidang animasi melalui program pembangunan modal insan.

Pengurus Besar SCENIC, Viviantie Sarjuni berkata, mengemudi SCENIC bukan sekadar menganjurkan program untuk rakyat tetapi ia memerlukan pemahaman yang tinggi berhubung bakat dan landskap industri di Sabah selain mengukur keberkesanan program dari semasa ke semasa.

“Justeru pada bulan April yang lepas, satu perbincangan tentang hala tuju SCENIC untuk lima tahun ke depan yang dihadiri oleh 18 Badan Penasihat SCENIC telah dianjurkan dan kertas kerja ini telah pun siap dan sedia dilaksanakan sehingga tahun 2025.

“Badan Penasihat ini terdiri daripada pengamal industri yang sangat berpengalaman dan telah mencipta nama di dalam bidang mereka di dalam Malaysia dan di luar negara. Mereka ini juga berfungsi sebagai badan yang menasihati SCENIC didalam pelaksanaan inisiatif selaras dengan visi dan misi setiap teras utama kami,” katanya.

Ahli-ahli badan penasihat SCENIC menghadiri perbincangan tentang hala tuju SCENIC untuk lima tahun ke depan pada April, tahun ini.

Viviantie berkata demikian dalam pelancaran virtual Rangka Tindakan 5 Tahun SCENIC, hari ini. Pelancaran turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi Negeri Sabah, Jasmine Teo; Timbalan Setiausaha Tetap I, Zainudin Aman; dan Timbalan Setiausaha Tetap II, Henry Idol.

Majlis pelancaran maya itu turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadzir Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Studio Ace Production, Sinn Chun Hou @ Geoffrey, dan wakil Toon Boom.

Teras utama SCENIC adalah Keusahawanan Berteraskan Inovasi, Ruang Kreatif, dan Teknologi dan Inovasi.

Viviantie berkata, pusat itu telah mengenalpasti 13 strategi utama dan 26 inisiatif yang merangkumi aspek pembangunan modal insan dan bakat, penemuan teknologi baru, serta inovasi yang dapat membantu memacu ekonomi Sabah.

“Kami berharap inisiatif-inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk rakyat Sabah menerusi kolaborasi pelbagai pihak kerana kerja-kerja membangunkan sebuah negeri dimana demografiknya amat berbeza dari negeri lain bukanlah sesuatu yang mudah,” tambahnya.

Viviantie Sarjuni

Sementara itu, Jasmine dalam ucapannya, mengucapkan tahniah kepada pencapaian SCENIC atas inisiatif untuk membawa teknologi animasi ke Sabah.

Katanya, usaha SCENIC adalah contoh kerjasama antara antara pembangun komuniti, korporat dan kerajaan ataupun “public – private – community partnership” yang patut dicontohi oleh semua sektor.

“Pihak Kerajaan Negeri amat berbesar hati atas  kerjasama ini dan mengalu-alukan penglibatan pakar dari pelbagai industri dan institusi pengajian tinggi untuk sama-sama memacu perkembangan agenda teknologi dan inovasi di Sabah supaya dapat meningkatkan hasil ekonomi negeri.

“Pihak Kementerian sangat gembira selepas mendengar berita baik dan perkembangan dalam sektor animasi yang merupakan salah satu sektor yang turut didokong oleh kementerian,” katanya.

Jasmine berkata, Sabah tidak kekurangan bakat kreatif dan tidak mustahil satu hari nanti negeri ini akan dapat menghasilkan animasi bertaraf dunia setaraf dengan produksi antarabangsa.

“Dengan melatih bakat animasi di Sabah, kita juga dapat memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka berikutan sokongan rangkaian yang ada pada Toon Boom dan komunitinya,” kata.

Jasmine Teo

Pusat Latihan Toon Boom yang dipimpin oleh pihak SCENIC telah mula bekerjasama dengan Toon Boom Animation iaitu sebuah syarikat perisian animasi yang berpusat di negara Kanada dan mempunya pengkhususan dalam pengeluaran animasi serta perisian papan cerita.

‘Toon Boom’s Storyboard Pro dan Harmony’ yang dibawa SCENIC ke Sabah telah digunakan sebagai sebahagian daripada proses pembuatan filem animasi pertama Netflix yang pertama iaitu ‘Klaus’. Animasi tersebut telah menerima pelbagai anugerah termasuk pencalonan Academy Awards dan Oscar.

Dalam ucapan tahniah kepada SCENIC, Mahadzir berkata pembangunan digital Malaysia memainkan peranan penting dalam membantu negara mencapai pertumbuhan dan kesejahteraan yang mampan untuk rakyat seperti yang dinyatakan dalam Kemakmuran Bersama 2030 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

“MDEC and SCENIC berkongsi misi yang sama dalam memacu pertumbuhan teknologi and kreatif tempatan serta menyumbang kepada ekonomi negara.

“Kami menghargai nilai dan impak yang disumbang oleh SCENIC pada ekosistem digital di Sabah. Pada tahun pertama operasi, SCENIC telah memberi impak kepada lebih 3,500 bakat dari Sabah menerusi program yang dianjurkan bersama MDEC dan rangkaian rakan kongsi ekosistem.”

Mahadzir Aziz

Mengulas mengenai industri animasi di Sabah, Geoffrey berkata ianya masih di peringkat awal dengan hanya segelintir syarikat animasi yang beroperasi di negeri ini, sambil menambah Sabah memerlukan platform untuk memberi peluang dan pendedahan kepada bakat tempatan untuk bersaing dengan pasaran global.

“Kami bangga melihat bendera Malaysia di antara negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Itali, dan Kanada di laman web Toon Boom. Ini bermakna kita ada banyak peluang untuk menjadi bakat global yang kompeten serta mampu meningkatkan profil bagi membina lebih banyak permintaan dalam pekerjaan kita.”

Filem animasi pendek ‘Legend of Ancient Borneo’ dalam bahasa Kadazan oleh All-For-One Productions.

Sementara itu, ejen jualan pembangunan perniagaan bagi Toon Boom Animation (Malaysia, Singapura, Indonesia & Brunei), Sylvain Grisollet, berkata, bakat animasi di Sabah kini dapat memperoleh kemahiran animasi dengan latihan dari profesional industri sebenar dalam perisian piawai industri serta ‘Toon Boom’s Storyboard Pro dan Harmony’.

“Ini adalah peluang besar untuk bakat animasi di semua peringkat. Sama ada lulusan sekolah menengah atau lulusan diploma dan sarjana muda, yang ingin melengkapkan latihan animasi dan menjadi lebih bersedia dalam menyertai industri ini.

“Inisiatif ini juga memberi faedah kepada profesional sedia ada yang ingin meningkatkan kemahiran dengan perisian Toon Boom. SCENIC adalah platform di Sabah yang dapat meningkatkan kemahiran anda ke tahap seterusnya,” katanya.

Sejak beroperasi pada April 2020, SCENIC telah berjaya menganjurkan pelbagai inisiatif dengan pihak yang berkepentingan dan bekerjasama dengan lebih dari 150 rakan strategik dari seluruh Malaysia.

Program dan kolaborasi SCENIC turut memberi kelebihan menguntungkan kepada rakyat Sabah, dimana RM1.5 juta dalam bentuk pelaburan dan dana telah diterima oleh individu berbakat dan usahawan di negeri ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.