KOTA KINABALU, 29 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 juta Pokok Peringkat UMS sebagai menyokong kempen 100 juta pokok untuk tahun 2021-2025 dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS juga sentiasa menyokong usaha positif untuk memastikan khazanah hutan di negeri Sabah ini terus kekal dan dipelihara serta dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Dalam kempen selama lima tahun ini, kerajaan negeri Sabah menyasarkan jumlah pokok yang akan ditanam adalah kira-kira 36 juta dengan membabitkan lima kategori antaranya ladang hutan, restorasi hutan, pembangunan ladang getah dan pokok buah-buahan.
“Justeru, menerusi kempen penanaman pokok di peringkat universiti, UMS menyasarkan setiap kakitangan dan pelajar UMS di Kampus Induk, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Sandakan akan menanam sebanyak satu pokok pada tahun ini dan seterusnya dua pokok setiap tahun sehingga 2025.
“Akhirnya, pada tahun 2025, pokok yang ditanam berjumlah 200 ribu, dan penanaman ini bukan hanya berlaku di dalam UMS, malah juga melibatkan kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran program tersebut yang berlangsung secara maya menerusi platform Facebook rasmi Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) UMS.
Taufiq menambah, kerjasama daripada rakan industri turut diperlukan untuk sama-sama menjayakan kempen tersebut yang akan dibuat secara berperingkat dan pada tahun ini, kempen diadakan dari bulan Oktober hingga Disember 2021.
“Tema Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, “Pokok Kita Kehidupan Kita” jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat akan kepentingan hutan kepada kesejahteraan hidup manusia.
“Memelihara dan menjaga hutan serta alam sekitar bukan tugas kerajaan semata-mata, sebaliknya juga tugas semua pihak termasuk swasta, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti kampung dan orang perseorangan,” kata Taufiq.
Beliau turut berharap agar kempen tersebut akan memberi kesedaran dan menaikkan semangat semua kakitangan, pelajar dan pihak-pihak berkepentingan di universiti ini dalam menyemarakkan lagi usaha menanam pokok, serta kempen menghijaukan bumi akan berterusan demi manfaat generasi akan datang.
Terdahulu, Dekan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) UMS, Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie memaklumkan, bagi Program Penghijauan Malaysia, UMS melalui FPT merupakan ahli jawatankuasa teknikal peringkat kebangsaan.
“Jawatankuasa ini bertanggungjawab dalam memberi khidmat nasihat berkaitan penanaman pokok, melaksanakan kajian pelbagai disiplin yang berkaitan untuk menyokong pelaksanaan objektif kempen, dan menyelaras pengumpulan data dan laporan teknikal serta menghebahkan kempen untuk meningkatkan pembudayaan kempen penanaman pokok peringkat domestik dan antarabangsa.
“Pelaksanaan kempen ini bertujuan untuk memupuk semangat cintakan alam semula jadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok kepada segenap lapisan masyarakat serta menyokong komitmen untuk mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia,” kata Normah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Sabah yang telah memberikan pelbagai bantuan bagi menjayakan kempen tersebut, serta Pusat Pengurusan EcoCampus UMS yang turut bekerjasama dalam pelaksanaan kempen di peringkat universiti.
Beberapa aktiviti telah dirancang untuk menjayakan kempen ini antaranya pertandingan penanaman pokok terbanyak di antara Fakulti, Institut, Jabatan dan Pusat, pertandingan poster kempen penanaman 100 juta pokok, seminar berkenaan dengan penanaman dan penjagaan pokok dan aktiviti yang melibatkan keusahawanan pelajar UMS – pembelian t-shirt dan penanaman satu anak pokok.