KUALA LUMPUR: Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan menyalurkan bantuan iaitu sebanyak RM2,000 ringgit kepada isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan tersebut akan diberikan mulai tahun depan untuk mereka yang berpendapatan RM2,500 sebulan.
“Pemberian bantuan ini merupakan peningkatan berbanding 1,800 ringgit iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (atau BPR) sebelum ini,” beliau berkata semasa membentangkan Rang Undang Undang Perbekalan (2022).
Zafrul berkata pembaharuan tersebut mengambil kira cadangan yang diterima daripada orang ramai melalui penerbitan Kertas Konsultasi Awam berhubung penambahbaikan bantuan rakyat.
Selanjutnya, maklum balas lain yang diterima turut menyentuh soal cabaran yang perlu ditanggung oleh ibu tunggal dalam menyara anak-anaknya; selain warga emas B40 yang kekurangan simpanan persaraan dan tiada sumber pendapatan tetap.
“Sebagai pembaharuan untuk tahun hadapan, Kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak 500 ringgit lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga 5,000 ringgit.
“Selain itu, bantuan tambahan sebanyak RM300 lagi turut diberikan kepada isi rumah warga emas.
“Ini bermakna, kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500”
Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan 8.2 bilion ringgit iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR.
Selanjutnya, berhubung bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, syarat kelayakan kebajikan akan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu 1,169 ringgit berbanding PGK 2016 iaitu RM980 ringgit sebelum ini.