KUALA LUMPUR: ProtectHealth menyambut baik pembentangan bajet 2022 yang memperlihatkan sejumlah RM32.4 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Jumlah ini sememangnya mencerminkan keprihatinan Kerajaan terhadap kesejahteraan kesihatan rakyat Malaysia.
“Sejajar dengan hasrat Kerajaan, ProtectHealth sebagai sebuah agensi di bawah KKM akan terus mengutamakan penjagaan kesihatan golongan B40 menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) dan meringankan bebanan Kerajaan dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).”
ProtectHealth, di satu kenyataan media, juga berkata akan terus membantu KKM dalam usaha pemberian dos penggalak kepada golongan dewasa dan program vaksinasi kepada golongan remaja serta anak-anak berumur 12 hingga 17 tahun melalui penglibatan pengamal perubatan swasta dan NGO Kesihatan.
Sehingga 29 Oktober 2021, ProtectHealth telah berjaya menyumbang sebanyak 48% daripada jumlah keseluruhan vaksinasi seluruh Malaysia iaitu bersamaan 23,576,102 dos dalam PICK.
Sepertimana misi utama ProtectHealth iaitu ‘Kesihatan Anda, Misi Kami”, ProtectHealth akan terus menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat yang telah disentuh dalam Bajet 2022 bertujuan untuk memupuk budaya sihat serta menangani masalah penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr. Anas Alam Faizli berkata, penekanan kesedaran awam dan pengesanan serta rawatan masalah penyakit tidak berjangkit di peringkat awal amat penting kerana ianya akan memberi faedah besar jika dilihat bagi tempoh jangka masa panjang seperti meningkatkan kualiti kehidupan dan menjimatkan kos perbelanjaan rawatan penyakit berkaitan.
Sehingga 30 September 2021, ProtectHealth telah berjaya membuat saringan kesihatan kepada lebih 530,000 orang yang layak di seluruh Malaysia menerusi PeKa B40.
Daripada jumlah ini, lebih 40% telah dikesan mempunyai sekurang-kurangnya salah satu penyakit tidak berjangkit.
“Bergerak ke hadapan, ProtectHealth komited untuk melaksanakan lebih banyak program jangka luar dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan mereka yang layak untuk skim PeKa B40 ini menerima manfaatnya. “
Di samping itu, ProtectHealth turut menyokong baik pengumuman Bajet 2022 apabila peruntukan RM70 juta juga diperuntukkan untuk terus memastikan isu kesihatan mental diberi keutamaan, antaranya untuk memperkukuh perkhidmatan sokongan, kaunseling dan psikososial, menambah program advokasi serta memperkasa peranan NGO sebagai penggerak program kesihatan mental. ProtectHealth akan memainkan peranan penting berhubung perkara ini melalui kajian yang akan dilaksanakan menerusi Program Kesejahteraan yang membolehkan penerima manfaat di bawah skim PeKa B40 menikmati manfaat lain berkaitan kesihatan mental.
Secara keseluruhannya, ProtectHealth berpuas hati dengan pembentangan Bajet 2022 dan berterima kasih kepada Kerajaan kerana telah memberi penekanan kepada sektor kesihatan awam dan terus meletakkan usaha memerangi COVID-19 sebagai keutamaan negara yang sememangnya selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu untuk menstruktur semula sistem kesihatan negara.