RANAU: Dengan semangat gotong royong penduduk kampung, jambatan gantung yang sekian lama rosak di Kg. Togop Laut juga telah dibaiki sepenuhnya dibawah pengawasan Pemimpin Kampung.
Datuk Dr. Joachim Gunsalam yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang memuji kerjasama penduduk kampung yang terus komited untuk bersama-sama menjayakan kerja-kerja melibatkan pembangunan.
Katanya, aktiviti atau kerja-kerja baikpulih kerosakan jalan-jalan kampung, jambatan gantung dan pembinaan keperluan-keperluan asas sudah boleh dilaksanakan setelah negeri Sabah sudah pun memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Semangat bergotong royong di kampung adalah amalan yang sudah menjadi tradisi dalam suasana hidup berkampung yang perlu diteruskan.
“Terima kasih kepada semua Ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang komited dalam melaksanakan agenda-agenda pembangunan kampung yang tertangguh setelah sekian lama,” kata Dr Joachim yang juga merupakan timbalan ketua Menteri Sabah.
Selain itu, kerja-kerja pemasangan kalbut di jalan utama Kampung Paka Ulu Sugut telah dilaksanakan secara bergotong-royong yang dikawalselia Ketua Kampung, kini sudah boleh digunakan dengan selamat.
Tandas Balairaya di Kg. Manikulau juga telah selesai dibaiki yang diketuai Pengerusi JPKK.
Mengulas lanjut, Dr. Joachim berkata, pihaknya akan terus komited dan jentera pentadbiran di kawasan amat memainkan peranan dalam memantau kerja-kerja pembaikan yang mendesak supaya rakyat dapat menikmati kemudahan asas, seiring dengan matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Menurutnya lagi, Pengerusi JPKK kampung boleh membuat permohonan peruntukan untuk pembangunan di kampung masing-masing, pada awal tahun hadapan.
“Mereka hendaklah berbincang terlebih dahulu dengan penduduk kampung mengenai pembangunan yang perlu diutamakan. Permohonan tersebut boleh dimajukan kepada Pejabat Wakil Rakyat dan Pejabat Daerah Ranau.”